Thursday 29 March 2012

'DISKO DESA' - PERBUATAN TIDAK BERTAMADUN


“Ia perbuatan tidak bertamadun dan memalukan agama dan bangsa,” selar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengulas pendedahan pesta maksiat membabitkan ratusan remaja ketika satu majlis perkahwinan di Parit, Sabtu lalu, yang disiarkan Harian Metro (HM), semalam.
Persembahan kugiran itu yang disertai pondan menarik perhatian belia lelaki dan perempuan untuk menari beramai-ramai sambil berpelukan sehingga larut malam.
Harussani yang dihubungi berkata, perbuatan sedemikian boleh menghancurkan akhlak dan menghina adat serta budaya masyarakat Melayu dan berharap ibu bapa memainkan peranan mengawal tingkah laku anak masing-masing tidak mengharapkan kerajaan memantaunya.
Sementara itu, pejabat HM cawangan Ipoh di sini, menerima banyak panggilan daripada orang ramai dan penduduk setempat berhubung pendedahan pesta maksiat itu semalam.
Rata-rata mengutuk perkara berkenaan dan tidak kurang pula malu kerana membabitkan masyarakat Melayu dan lebih menyedihkan mereka adalah remaja, belia dan pelajar.
HM semalam melaporkan lebih 500 remaja lelaki dan perempuan menjadikan persembahan kugiran sempena majlis perkahwinan di sebuah kampung di Parit sebagai pentas menari dan mabuk sambil berpelukan dan bercumbuan.

No comments: