Thursday 29 March 2012

ANNUAR MUSA - DI MANA SALAH SAYA.....???


“SAYA akan pergi bukan sebagai tertuduh, tapi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden FAM,” jelas Tan Sri Annuar Musa mengulas kesediaannya untuk menghadiri perbicaraan kesnya Rabu ini.
Katanya, beliau sedia untuk menghadap Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas permohonan menangguhkan perbicaraan dua pertuduhan ke atasnya kerana mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan diterima jawatankuasa itu kelmarin.
“Saya sudah dimaklumkan penangguhan itu, InsyaAllah saya akan hadir. Saya akan memberi kerja sama sepenuhnya. Saya juga sedia memberi penjelasan dan ingin tahu di mana salah saya. “Tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden untuk mengetahui jika ada sebarang percanggahan mengenai tafsiran ini supaya boleh dibawa ke Kongres FAM untuk dibetulkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Kenyataan yang dikeluarkan Annuar mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ketika ditanya pemberita selepas Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab anjuran Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) di Shah Alam 13 Mac lalu mengundang padah apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak mengemukakan dua pertuduhan ke atasnya.
Bagaimanapun jawatankuasa itu kelmarin bersetuju menangguhkan perbicaraan selepas menerima permohonan Annuar yang terikat dengan majlis bersama Kada (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) hari ini.
Pada mesyuarat jawatankuasa itu, Taufek turut mengumumkan tidak ada sebarang dakwaan dikenakan ke atas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dilapor turut membuat kenyataan terhadap kegagalan skuad Olimpik negara pada aksi kelayakan Olimpik pada 16 Mac lalu.
Untuk rekod, terdapat dua kes sebelum ini membabitkan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang digantung tiga tahun pada 1991 manakala Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil pula digantung dua kali pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM.
Sementara itu, Annuar yang juga pengerusi MSL turut ditanya mengenai peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif jabatan itu, Stuart Ramalingam hujung bulan lalu yang dikatakan berpunca daripada keretakan hubungan antara mereka.
“Saya sudah dimaklumkan, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan lanjut buat masa ini tetapi apa yang boleh saya nyatakan peletakan jawatan Stuart tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya

No comments: