Monday 13 February 2012

SELEWENG GAJI PEMAIN LIGA SUPER KEDAH MUSIM 2006-2007

Seorang bekas Pegawai Akaun Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan penipuan membabitkan wang berjumlah RM76,026 lima tahun lepas.

Izhan Abdullah Sani, 45, minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Izhan didakwa memalsukan baucar bayaran gaji dan elaun 14 pemain Liga Super Kedah Musim 2006-2007, bagi bulan Julai dan Ogos 2007 yang dilampirkan bersama sekeping cek dan penyata kredit gaji bagi dua bulan itu, di pejabat KFA di sini.

Setelah dokumen itu ditandatangani oleh KFA, dia kemudiannya menyediakan penyata kredit gaji yang lain dengan memasukkan namanya sebagai salah seorang pemain sebelum menghantarnya ke bank dan dia menerima gaji berjumlah RM5,817 bagi bulan Julai dan Ogos 2007.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sengaja membuat bayaran gaji sekali lagi bagi tiga pemain import berjumlah RM64,392, bagi September 2007 sedangkan gaji mereka bagi bulan itu telah dibayar lebih awal.

Setelah baucar bayaran gaji tiga pemain import itu ditandatangani KFA, Izhan kemudiannya sekali lagi menyediakan penyata kredit gaji yang lain dan memasukkan namanya sebagai pemain bola sepak Liga Super Kedah dengan niat untuk memperoleh wang RM64,392 itu.

Hakim menetapkan jaminan RM17,000 dengan seorang penjamin dan 18 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes serta menasihati Izhan mendapatkan khidmat peguam sebelum tarikh berkenaan. — BERNAMA

No comments: