Sunday 18 December 2011

MANGSA DAP...!!!

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT.....






KEPADA orang Melayu yang berangan-angan mahu bertanding atas tiket DAP, fikirlah 1000 kali.

Sudah ramai orang Melayu yang pernah menjadi aktivis DAP, akhirnya keluar parti kerana menjadi mangsa dipergunakan.

Mereka meratap dalam diam kerana penyesalan. Cuma sekerat dua yang tampil membuat pendedahan.

Salah seorang daripada mereka ialah bekas calon DAP, A. Rahman Manap. Beliau menjadi aktivis DAP pada dekad 1990-an dan telah menubuhkan tiga cawangan DAP Melayu. Antara jawatan yang pernah disandang ialah Ahli Jawatankuasa DAP Bayan dan Exco DAP Pulau Pinang.

Beliau pernah bertanding atas tiket parti itu di kawasan Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum 1995 tetapi tewas.

Awang pernah menulis sepintas lalu mengenai beliau ekoran pendedahannya kepada akhbar Suara Perkasa pada Oktober tahun lalu.

Menurut Rahman, perjuangan DAP adalah total kepada kepentingan kaum Cina dan parti itu sebenarnya mahu meruntuhkan penguasaan politik Melayu di tanah air ini. Apa sahaja strategi DAP untuk mendekati hati Melayu hanyalah muslihat sedangkan hakikatnya DAP bersikap anti-Melayu. ‘‘Mereka hanya mahu menjadikan Melayu sebagai alat bagi mencapai cita-cita politik,’’ katanya. Rahman membuat pendedahan itu kerana tidak mahu orang Melayu tertipu.

Seorang lagi yang berani tampil ialah Mohamed Razali Abdul Rahman. Beliau memohon maaf kepada orang Melayu kerana pernah menyertai parti itu. Kes beliau lebih menarik. Razali menyimpan rahsia dan kisah benar bagaimana liciknya DAP melaksanakan agenda berbahaya kepada Perlembagaan negara.

Baru-baru ini pula, Awang didatangi seorang bekas ahli parti itu yang enggan namanya disiarkan. Pertemuan selama 45 minit itu berakhir dengan dia sebak.

‘‘ Melayu hanya dipergunakan. Saya telah menghina diri sendiri, agama dan bangsa kerana tersilap perhitungan. Saya tidak mahu menanggung penyesalan ke akhir hayat. Kini saya menjauhkan diri dari DAP.’’ katanya.

Awang tersentuh. Setidak-tidaknya mereka ada keberanian untuk kembali ke pangkal jalan. Syukur.

No comments: