Tuesday, 29 May 2012

13 PELAJAR SEKOLAH MENENGAH AGAMA BERASRAMA HIDAP KEPIALU..???


IPOH: “Saya cemas melihat keadaan Muhammad Syazrin yang tidak bermaya dan memerlukan alat bantuan pernafasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak seminggu lalu,” kata pesara kerajaan, Roslan Ariffin, 59, mengenangkan nasib anaknya antara 13 pelajar yang dimasukkan ke wad kecemasan hospital itu dipercayai akibat serangan demam kepialu di sekolah.  

Menurut Roslan, anaknya yang juga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah agama berasrama di sini tidak pernah ditahan di wad kerana masalah kesihatan. 

“Pada mulanya saya dimaklumkan pihak sekolah yang memberi alasan keadaan anak lelaki yang mengalami demam disebabkan keracunan makanan begitupun selepas dirawat di hospital baru doktor memberitahu keadaannya itu disebabkan demam kepialu.

“Sebelum ini dia tidak pernah sakit, keadaannya ini membimbangkan kami sekeluarga lebih-lebih lagi peperiksaan SPM akan tiba tidak lama lagi secara tidak langsung sedikit sebanyak mengganggu pembelajarannya di sekolah,” katanya ketika ditemui di hospital itu.

Menurutnya, Syazrin yang kerap pulang ke rumahnya di Lumut tidak lagi cergas dan ceria seperti dulu menyebabkan dia bimbang keadaan anak lelakinya itu berlarutan sehingga boleh menjejaskan kesihatannya. Dia dan isteri, Rahimah Omar, 50, juga terpaksa berkampung di hospital itu demi memastikan keperluan harian selain berdoa setiap hari supaya keadaan anaknya yang kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu beransur pulih.

“Syazrin ada pulang ke rumah seperti biasa Jumaat lalu bagaimanapun keadaannya ketika itu hanya demam biasa. Anak lelaki saya itu memberitahu badannya berasa seram sejuk dan menggigil bagaimanapun selepas makan ubat keadaannya bertambah pulih,” katanya.

“Begitupun selepas pulang ke asrama Ahad minggu lalu keadaannya kembali demam sehingga Selasa lalu dia dimasukkan ke wad kecemasan HRPB kerana tidak dapat bernafas,” katanya.

Dia turut meluahkan perasaan terkilan dengan pengurusan pihak sekolah yang langsung tidak mengambil berat keadaan pelajar yang dirawat di hospital itu.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Siti Suryana Awang, 48, berkata anaknya, Muhammad Hakim Sabran, pelajar tingkatan empat sekolah itu menerima nasib sama apabila mengalami masalah sukar bernafas sehingga terpaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan.

“Sejak Selasa lalu Hakim berdepan masalah sukar bernafas sehingga terpaksa mendapat perhatian rapi, demamnya juga tidak menentu sehingga mengakibatkan kami sekeluarga bertambah risau melihat keadaannya yang masih belum pulih,” katanya.

Peniaga, Sharimah Mohd Yunus, 44, ketika ditemui di hospital itu berkata, anaknya pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan, Muhammad Ariff Mohd Yusof, turut dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lalu.

Menurutnya, akibat penyakit itu anaknya sering mengadu mengalami masalah demam tidak menentu, sakit kepala berlarutan dan sakit di belakang badan. Bimbang keadaannya membuatkan dia mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada polis.

“Saya sudah membuat laporan di pondok polis hospital semalam (kelmarin) kerana bimbang melihat keadaan anak dan rakannya yang menderita akibat diserang penyakit berkenaan.

“Saya juga mewakili ibu bapa dan pelajar lain di sekolah itu memandang serius mengenai perkara ini dan berharap supaya dapat ditangani dengan segera,” katanya.

Sejak seminggu lalu, seramai 13 pelajar sekolah menengah agama berasrama di sini dikejarkan ke wad kecemasan HRPB dengan empat daripadanya sudah dibenarkan pulang manakala sembilan termasuk dua pelajar masih dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan.

Usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan sekolah berkenaan gagal apabila pengetua enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. 

***BP difahamkan, sekolah tersebut terpaksa ditutup awal iaitu 2 hari sebelum musim cuti sekolah penggal pertama ini bermula, akibat dari ramai pelajarnya yang menghidap demam tersebut..... 

IKAN MILIKI 3 CIRI SPESIS BERBEZA..

SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.
SAWYER dengan ikan Frankenstein yang ditangkapnya.

LONDON: Pemancing, Mark Sawyer terkejut apabila dia menangkap ikan ‘Frankenstein.’

Sawyer, 53, pengarang majalah Angling Times berkata, ikan itu kelihatan terdiri daripada tiga spesies berbeza. 
“Kepala ikan itu seperti ikan lipas, badan dan ekornya seperti ikan emas coklat sementara sirip duburnya seperti ikan kakap,” kata Sawyer.

Dia menangkap ikan berkenaan ketika memancing ikan kap di Tasik Magpie di Cambridge. - DM





UNDI PARTI MASUK SYURGA FATWA SESAT.....


KUALA LUMPUR  - Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi (gambar) menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Menurut Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.

Jelas beliau, syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah bukan kepada mana-mana pengundi manakala neraka pula adalah azab Allah ke atas mereka yang sesat, kufur atau syirik.

''Antara amalan ketaatan kepada Allah dan penolakan daripada apa yang telah dilarang ialah menolak kepuakan dan menjauhi kepartian. Tidak ada dalil al-Quran dan Sunah untuk melibatkan diri dengan kepartian atau menjadikannya jalan kepada perkara baik dan betul.

''Bahkan ia adalah bidaah dari Barat (iaitu kepartian). Ia tidak wujud pada umat Islam dalam kurun terawal (zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan at-tabiin),'' katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Sulaiman yang kemudiannya ditanya tentang seruan pemimpin parti tertentu terhadap kepelbagaian agama dan mengatakan semua agama adalah sama berkata, pendapat itu adalah kufur dan golongan yang berpegang dengan pendapat sedemikian di zaman silam ialah Ikhwan Safa.

Mereka ini katanya, terdiri di kalangan Syiah Batiniyah yang muncul di abad ketiga Hijrah serta telah dihukum kafir oleh semua ulama Hanafi, Shafie, Maliki dan Hambali kerana berkata secara literal bahawa : ''Pandangan kami mencakupi semua mazhab dan agama kami mencakupi semua agama.''

''Pendapat itu adalah suatu kekufuran kerana agama yang sebenarnya di sisi Allah ialah Islam sahaja dan tiada agama lain yang setanding dengannya. Pada zaman moden ini lahir doktrin Freemason yang menyeru supaya mengingkari semua agama atau menyeru kepada penyatuan semua agama dalam satu mazhab.

''Ini adalah perbuatan murtad dan keluar dari agama Allah,'' tegas beliau.

Mengenai usaha menumbangkan kerajaan sedia ada di negara ini serta menyeru supaya diadakan demonstrasi jalanan, katanya, usaha itu bukanlah jalan kedamaian.

''Agama rasmi Malaysia adalah Islam dan syiar Islam (di negara ini) adalah nyata. Maka adalah menjadi kewajipan untuk nasihat menasihati dan membuat perdamaian. Ini adalah Manhaj (Prinsip Dasar) Nabi Muhammad SAW.

''Manakala demonstrasi jalanan adalah meniru perbuatan Barat yang jauh lebih banyak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan ke atas umat Islam daripada kebaikan yang diharapkan,'' jelasnya.

Sementara itu, Sulaiman ketika memberi reaksi terhadap kaedah kafir mengkafir yang digunakan oleh sesetengah orang Islam dan ahli politik untuk memancing undi berkata, ia tidak dibenarkan terutama jika digunakan terhadap seorang muslim yang masih lagi mengamalkan amalan Islam yang zahir serta masih mengucap dua kalimah syahadah.

Katanya, sesiapa yang menggunakan pendekatan itu terhadap umat Islam maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud : ''Sesiapa yang berkata kepada saudara Islamnya 'Wahai Kafir' tuduhan itu akan kembali kepadanya.''

''Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas setiap muslim untuk berbaik sangka dengan saudara seIslam dan bergaul dengan cara yang baik,'' jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan seseorang muslim tidak dibenarkan untuk bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa jua keadaan sekalipun untuk menentang saudara seagama.

Kata beliau, sejarah dengan jelas telah membuktikan minoriti bukan Islam tidak akan mengundi untuk parti Islam melainkan jika parti Islam itu berkompromi sesuatu dari agama dan perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya besar kepada umat Islam.

NIZAR BIADAP!!! MULUT LONGKANG!!!


Sultan Johor telah memenangi bidaan dalam merebut nombor plat kenderaan “WWW 1″, dengan tawaran tertinggi sebanyak RM520,000.
Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar mendahului 9,999 pembida lain termasuk Yang di-Pertuan Agong, yang memenangi nombor plat “WWW 5″, dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, memenangi nombor plat “WWW 15″.
Keputusan bidaan boleh didapati di laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pada Khamis, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengumumkan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 telah mencatatkan tawaran bidaan tertinggi sehingga kini.
Nilai ini melepasi rekod yang dicatatkan “MCA 1″ pada tahun 2010 yang telah dijual pada harga RM300,100.
Bidaan terhadap nombor pendaftaran dikehendaki ramai ini bermula pada 30 April dan berakhir pada 14 Mei.
Dalam tempoh tersebut, beribu-ribu membanjiri tiga cawangan JPJ Kuala Lumpur untuk meletakkan tawaran mereka untuk awalan “WWW”, yang merupakan singkatan bagi “World Wide Web”.

EKORAN DARI BERITA BIDAAN PLAT WWW 1 TELAH DIMENANGI OLEH BAGINDA SULTAN JOHOR, DYMM SULTAN IBRAHIM.....MAKA ADALAH SEORANG ORANG BIASA YANG PERNAH JADI MB PERAK SEKEJAP (11 BULAN SAHAJA) DAN DIGELAR SEBAGAI MB BONEKA, DI DALAM TWITTERNYA MEMPERTIKAIKAN JUMLAH RM YANG DIPEROLEHI BAGINDA SULTAN UNTUK TUJUAN TERSEBUT SEBAGAI 'DUIT RAKYAT'.... BIADAP SUNGGUH NIZAR!!!! DASAR MULUT LONGKANG!!!


PENGKHIANAT DAN PENDERHAKA ADALAH PAKATAN RAKYAT.

Berkenaan bidaan WWW1 yang heboh diperkatakan semenjak malam tadi yang telah menjadi milik Tuanku Sultan Ibrahim, ramai yang membuat tanggapan sendiri. Malah ada yang berkata Sultan Johor membeli plat nombor kereta guna duit Rakyat. Penulis berpendapat kalau orang biasa yang mampu membeli nombor plat mahal dikatakan orang itu berkerja keras, sebaliknya kalau pemerintah beli no plat mahal dikatakan pemerintah itu makan duit rakyat? Mana keadilannya.

Sebenarnya Keluarga Diraja Johor dari dulu lagi ada bisnes sendiri. Semenjak zaman Almarhum Sultan Iskandar lagi kita sudah disajikan dengan cerita yang memeranjatkan seperti Yang Dipertuan Agong Ke-8 mendermakan kesemua elaun kepada badan kebajikan sebanyak RM3.8 juta sehinggakan Almarhum dilabelkan sebagai "Raja Yang Tak Bergaji". Sifat ini diwarisi oleh Sultan Ibrahim, contoh yang kita tahu Sultan Johor kurnia 11 kereta, 8 Harley Davidson kepada PDRM. Jika difikir logik, mengapa hendak membeli kereta atau nombor plat menggunakan duit rakyat?

Dan pembaca  juga perlu ingat Sultan Johor mempunyai kekayaan mereka sendiri. Malah Sultan Sir Ibrahim moyang Sultan sekarang merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia satu masa dahulu. Apabila kita membaca senarai yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkenaan "Senarai Permohonan Tender Yang Berjaya", pembaca dapat melihat diatas sekali tertulis "D.Y.M.M SULTAN IBRAHIM JOHOR". Penulis merasakan Rakyat Johor tidak akan terperanjat, sebab Rakyat Johor memang percaya Tuanku berkemampuan. Dan berbalik pada senarai tersebut, itu menunjukkan yang Tuanku menggunakan saluran dan prosedur yang betul apabila berurusan dengan kerajaan. Tuanku juga tidak menggunakan kedudukan baginda untuk mendapatkan sesuatu yang diingini.



BERIKUT KENYATAAN DARI ISTANA JOHOR....



Monday, 28 May 2012

WAJIB BACA : APA KATA DR. RIDHUAN TEE JIKA PM BUKAN MELAYU..!!!


Saya sebenarnya sudah malas untuk menulis dalam akhbar Utusan/Mingguan Malaysia.Keluar sahaja artikel, saya terus diserang. Tetapi bila akhbar ini diserang sedemikian rupa oleh ultra kiasu, malas atau tidak, terpaksalah juga saya tampil, bukan membela, tetapi berkata benar. Isu bukan Melayu sebagai Perdana Menteri bukan hari ini dibangkitkan oleh parti ultra kiasu. Tetapi sejak dahulu lagi. Cuba saudara pembaca buat kajian kenyataan demi kenyataan parti anti Melayu dan anti Islam ini sejak dahulu lagi. Bermula daripada ucapan-ucapan mereka dalam kempen pilihan raya umum (PRU) 1969, sehingga berlangsungnya PRU 1969 pada 10 Mei, diikuti perarakan kemenangan ultra kiasu di Kuala Lumpur 12 Mei, seterusnya membawa tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas itu. Saya tidak ingin mengungkap lagi apa yang telah berlaku.Biarkan sejarah berlalu. Tetapi provokasi mereka amat melampau. Saya menyeru kepada semua pembaca meluangkan masa membaca buku sejarah Peristiwa 13 Mei 1969 dalam pelbagai versi. Antaranya tulisan Goh Cheng Teik (1971),Leon Comber (1985),Tunku Abdul Rahman (2007) dan lain-lain lagi.

Kata-kata seperti “Melayu sudah jatuh”,“Kuala Lumpur sekarang Cina punya”,“Ini negeri bukan Melayu punya”,“kita mahu halau orang Melayu” dan kata-kata seumpama itu adalah perkara biasa yang sering diulang-ulang sesama mereka hari ini. Saya bukan mahu mengapikan. Tetapi inilah bukti bagaimana sikap ultra kiasu tidak pernah berubah. Pada saya yang baik itu,baiklah. Perlu disokong. Namun,bila tiba bahagian mungkar,maka perlu ditolak.Hari ini mereka nampak lembut terhadap Islam dan Melayu sebab mereka inginkan kuasa. Apabila kuasa telah diperolehi nanti,rasalah akibatnya.Maklumlah mereka bukan sahaja mendapat sokongan dalaman,tetapi juga luaran,terutama pulau kecil di selatan tanahair yang sentiasa mengikuti perkembangan politik di negara kita. Menunggu masa sahaja untuk bertindak. Apakah kita masih buta? Pemimpin-pemimpin mereka selalu berulang alik ke sana mencari dan memberi maklumat. Ultra kiasu anak beranak itu cuba mempertahankan pengerusinya dengan merujuk kepada perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan PM terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Namun, katanya, berdasarkan realiti politik selama ini, perdana menteri Malaysia akan tetap seorang Melayu.

Ya, saya tidak nafikan, tetapi jagalah adab-adab bila berbicara. Tidakkah kita tinggal di negara sebelah timur.Bila bercakap, berlapik kerana ini menyentuh sensitiviti orang lain. Sama seperti isu perkataan ‘pendatang’. Perkataan ini amat sensitif. Kenapa tidak ada lagi orang Melayu yang bercakap menggunakan perkataan ini? Kerana ingin menjaga hati orang lain. Inilah adab-adab yang perlu kita belajar. Saya cadangkan parti ultra kiasu ini menganjurkan kursus kepada ahli-ahlinya. Kalaupun tidak ramai boleh berbahasa Melayu atau masih gagap, sekurang-kurangnya belajar menjaga sensitiviti kaum lain, terutama bangsa majoriti. Isu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri amat sensitif kepada Melayu kerana ini adalah tanahair tumpah darah mereka kerana setiap bangsa ada tempat tumpah darahnya. Apakah kita masih tidak sedar? Kecualilah kalau kita masih terpengaruh dengan pemimpin ultra kiasu Singapura yang sudah tua itu. Beliau pernah berkata: Mengikut sejarah katanya orang-oranng Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu. Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha Agung Umno,Dato’ Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun. Dari itu,adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka. Utra kiasu itu berkata lagi,beliau dapat menyusun-galur nenek moyangnya sehingga 100 tahun di Singapura. Beliau menolak pendapat bahawa orang-orang Melayu adalah Bumiputera Gugusan Pulau-Pulau Melayu (Lee Kuan Yew, 1965; Flether, 1969).

Saya yakin ramai ultra kiasu masih terpengaruh dengan kata-kata ultra kiasu tua itu. Saya tidak nampak Utusan bersikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dalam melaporkan berita.Jika tidak benar,samanlah. Utusan tidak boleh asyik nak mengalah sahaja di kala orang lain terus menyerang. Mereka juga harus bertindak seperti akhbar Rocket, Suara Keadilan dan Harakah. Pemimpin ultra kiasu berkata,"Apabila DAP muncul di muka depan Utusan, ia pasti berita buruk/ masalah politik kerana ia gaya putar belit mereka." Persoalan saya, apakah Umno atau Barisan Nasional mendapat liputan yang baik di muka hadapan akhbar-akhbar mereka? Tidak juga. Jadi,sebenarnya, mengata orang dia yang lebih. Saya berpegang kepada prinsip,“kita tidak akan menyerang jika tidak diserang.Tetapi kita tidak akan menyerang, tanpa tentangan”.

Menurut ultra kiasu, Utusan sengaja mencipta "isu yang tidak wujud" demi kepentingan politik dan berkempen menakut-nakutkan orang ramai, seperti "fitnah" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Umno tumpas, Melayu akan hilang kuasa politik. Pada saya, bukti sudah jelas di depan mata, apa yang terjadi kepada Melayu di Singapura apabila ultra kiasu memegang kuasa. Terbelakah orang Melayu. Ada atau tidak, Melayu menjadi presiden Singapura selepas itu? Begitu juga kedudukan Melayu dalam jawatan berkaitan strategik dan keselamatam seperti perkhidmatan polis, tentera, pilot, imigresen dan sebagainya. Janganlah buat tidak tahu. Perancangan busuk ultra kiasu sudah termaktub dalam sejarah. Lepas ini mungkin ada yang berkata dalam blog saya,ada yang terasa nak murtad apabila membaca pandangan saya. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya berkata benar. Jika ada yang mahu murtad disebabkan pandangan dan hak saya untuk bersuara, saya serahkan kepada Allah SWT. Tetapi saya tidak boleh berdiam diri melihat sahaja perancangan jahat orang lain.

Kenyataan balas pengerusi ultra kiasu dibuat semata-mata strategi untuk menarik orang Melayu menyertai mereka setelah Tunku Abdul Aziz keluar parti. Kepada orang Melayu berada dan yang menyertai parti ultra kiasu ini, insaflah. Banyak lagi parti lain yang matlamatnya lebih jelas daripada parti ini. Pada saya, jika benarpun dari segi undang-undang, tidak perlu bercakap, kerana ia menyakitkan orang lain. Apakah mungkin Singapura berperdanamenterikan Melayu walaupun perlembagaan negara tersebut tidak menetapkan bangsa Cina sahaja yang akan menjadi perdana menteri? Apakah peluang tersebut akan diberikan kepada Melayu? Jauh panggang dari api. Saya bukan membela Utusan atau membela Umno. Ada beberapa perkara yang saya tidak boleh bersetuju. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh biarkan sahaja mereka diserang. Yang baik, sokonglah, yang salah, saya tolak. Tetapi ultra kiasu ini tidak sedemikian, termasuk ultra kiasu Melayu, buat baik, salah, buat jahat, lagi salah. Semua jadi serba salah. Inikah ciri orang bertamadun?

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan, Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

LEBUH RAYA RAKYAT : HUSAM HILANG AKAL..!!!


Husam kini berjanji membina Lebuh Raya Rakyat yang dicita-citakan menyambung Kota Bharu ke Kuala Krai. Bila disebut Husam berjanji, maka Husam itu adalah Ahli Majlis Kerajaan Negeri. Husam adalah jurucakap kepada Kerajaan Negeri dalam isu tersebut.
Mungkin ada diantara kita tidak dapat hidup sepanjang Lebuh Raya Husam untuk menikmatinya, jadi nasihat saya sangat mudah. Nilailah hari ini Lebuh Raya Husam dengan apa yang kita lihat telah terjadi kepada Projek Depu, Kambing Jamnapari, Dinar Emas dan Bazar Tok Guru. Jika program-program itu kita jadi kadar bandingnya, maka tidak lah perlu kita panggil Husam sebagai penipu bila kita bercakap soal lebuh raya ini pada tahun hadapan.
DAPATKAN INFO LENGKAP..... DI SINI

PAS DIGELAR PARTI MENYESATKAN AKIDAH UMAT ISLAM MALAYSIA!

Jika UMNO yang menyatakan bahawa fatwa yang disebarkan PAS bahawa ‘undi PAS masuk syurga’ adalah sesat, maka PAS akan menuduh UMNO cemburu, jahil, sesat hatta kafir.

Justeru, kita ingin bertanya ahli-ahli PAS, apakah Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi juga cemburu, jahil, sesat atau kafir juga kerana menyatakan fatwa yang digunapakai PAS itu adalah bodoh, jahil dan sesat? Kenyataan ini dibuat beliau dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia semalam.

Jawapan pemimpin-pemimpin PAS mengenai kenyataan Dr. Sulaiman ini sudah boleh dijangka iaitu “bahawa UMNO telah memberi penerangan yang tidak benar mengenai PAS kepada Sheikh Dr. Sulaiman sehingga menyebabkan beliau salah faham mengenai fatwa tersebut”.

Ahli-ahli PAS totok pun akan turut berkata yang sama sebagai mempertahankan diri mereka. Sebahagian ahli PAS yang lain pula iaitu yang mampu menggunakan sedikit akal fikiran, akan menafikan bahawa pemimpin mereka pernah berfatwa demikian sebaliknya UMNO yang sengaja mengada-ngadakannya.

Apa yang pasti, pemimpin dan ahli PAS akan melakukan apa sahaja untuk menyedapkan hati sendiri setelah menyedari yang mereka telah tersesat. Ego dan takbur akan menghalang mereka-mereka dari mengakui kesalahan, jauh sekali untuk kembali ke pangkal jalan.

Kenyataan Sh. Dr. Sulaiman ini amatlah dialu-alukan di ketika umat Islam di Malaysia berpecah-belah dan keliru akibat dari hasutan Ulama-ulama jahat akhir zaman. Namun, usaha untuk memperbetulkan kembali pemikiran umat yang telah dicelarukan ulama-ulama ini bukanlah mudah. Rata-rata umat Islam yang celaru itu enggan mengakui kecelaruan mereka kerana terpesong jauh oleh emosi benci dan dendam yang tidak berasas terhadap kerajaan.

Jika dulu, umat Islam di Malaysia dihasut oleh PAS untuk membenci kerajaan kerana tidak menggunapakai undang-undang Islam dan dianggap kafir, tetapi kini PAS masih terus membenci kerajaan walaupun mereka sendiri telah pun membuang negara Islam dari perjuangannya apabila bekerjasama dengan kafir harbi DAP dan pluralis PKR.

Lebih menyedihkan ialah apabila PAS bukanlah dominan dalam Pakatan Rakyat tetapi menjadi pak turut kepada DAP dan PKR. Maka, sedar tak sedar, PAS kini sebenarnya sedang membantu perjuangan pluralis PKR dan Kristian Evangelist DAP untuk bertapak di Malaysia secara mutlak melalui penguasaan politik.

Hakikat yang sukar untuk ditelan ialah kesesatan PAS bukan sedikit, tetapi sudah terlalu jauh dan terlalu dalam, berakar umbi sejak tahun 70an, menjadi barah yang semakin parah kepada ummah. Dalam hal ini, mungkin kerajaan juga berkongsi sedikit kesalahan kerana tidak mengharamkan saja PAS sejak dahulu.

Jika dulu, kesesatan PAS terlindung oleh imej ekstrem dan fanatik Islam, tetapi kini kesesatan PAS terserlah dengan duduk di belakang golongan liberal yang meletakkan hak asasi kebebasan mengatasi tuntutan agama. Bertitik-tolak dari itu, pemimpin-pemimpin mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan bercanggah dan merapu semata-mata untuk menjustifikasikan kesepakatan mereka dengan golongan ini.

Walaupun kesesatan mereka kini jelas dan nyata, tetapi kerana fatwa ‘undi PAS masuk syurga’ telah berakar umbi sekian lama, maka ramai umat Melayu yang tetap kekal di dalam PAS semata-mata mengharapkan syurga mudah.

Syurga adalah nikmat, rahmat yang diberi kepada manusia yang berbuat kebaikan, yang berbudi kepada manusia lain dan alam semulajadi, yang suci hatinya serta ikhlas perbuatannya. Syurga adalah untuk manusia yang tahu bersyukur akan nikmat Allah kepadanya, yang menggunakan sebaiknya anggota, pancaindera dan akal kurniaan Allah untuk kebaikan diri sendiri, saudara-saudaranya, manusia sejagat dan alam sekitar. Syurga adalah untuk manusia yang mengamalkan ayat-ayat Allah untuk meneroka dan mencari ilmu dari seluruh kejadian alam dan cakerawala iaitu matlamat utama mereka dicipta.

Syurga bukan ditentukan oleh manusia, parti, undang-undang atau kerajaan. Syurga neraka adalah hak Allah S.W.T. Kerana itu, kita diberitahu tentang kisah bagaimana seorang pelacur boleh masuk syurga hanya kerana memberi makan seekor anjing serta bagaimana seorang Ulama boleh tergelincir ke neraka kerana riak.

Kita tidak faham bagaimana ahli-ahli PAS yang kononnya amat mementingkan agama tidak mampu memahami perkara asas dalam agama Islam iaitu tentang syurga neraka yang tidak boleh ditentukan oleh manusia. Kita tidak faham bagaimana begitu mudah sekali sebahagian dari kita untuk terpesong, terpedaya dan tertipu oleh serban, jubah dan kata-kata yang tidak masuk akal.

Inilah akibatnya jika gemar menolak penggunaan ‘akal’ dalam membincangkan soal agama. Sedangkan Allah S.W.T telah menegaskan bahawa ‘akal’ adalah kurniaan tertinggi yang diberikan kepada makhlukNya. Apa guna diberikan akal jika bukan untuk digunakan terutama dalam menghayati ajaranNya?

Sh. Dr. Sulaiman bukan orang UMNO, bukan orang politik dan bukan mewakili kerajaan Mesir atau mana-mana negara Arab. Beliau bercakap atas kapasiti seorang Ulama yang bertanggungjawab menyatakan kebenaran demi kebaikan ummah.

Maka, terpulanglah kepada ahli-ahli PAS untuk terjun bersama serban pemimpin mereka atau mendengar nasihat Sh. Dr. Sulaiman dan kembali ke pangkal jalan.



SUMBER