Showing posts with label FENOMENA HALO. Show all posts
Showing posts with label FENOMENA HALO. Show all posts

Wednesday, 3 October 2012

FENOMENA HALO DI LEMBAH KELANG TARIK PERHATIAN

Fenomena Halo
Fenomena halo adalah lingkaran cahaya yang terbentuk seperti pelangi yang mengelilingi Matahari - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Orang ramai di sekitar Lembah Klang dapat menyaksikan fenomena Halo semalam.
Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.

Friday, 13 April 2012

FENOMENA HALO BERLAKU DI ALOR SETAR

Fenomena Halo Berlaku Di Alor Setar

ALOR SETAR – Orang ramai di bandar raya ini dikejutkan dengan satu fenomena di mana lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan.
Keadaan yang dikenali sebagai Fenomena Halo itu mula dikesan tengah hari Khamis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia kepada Bernama hari ini, keadaan itu adalah satu fenomena semula jadi.
“Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi daripada kristal ais dalam awan tinggi cirrostratus yang kelihatan seakan-akan kepingan awan yang terletak pada ketinggian sekitar 6,000 – 18,000 meter di atas paras tanah,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata dalam amalan pemerhatian cuaca, kewujudan halo merupakan antara petunjuk yang boleh diguna untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama jika ia diikuti awan jenis pertengahan.
Menurut kenyataan itu, lapisan awan cirrostratus sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya, tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.
Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan halo terbentuk.
Menurut kenyataan itu lagi orang ramai yang ingin melihat halo perlu memastikan kedua-dua mata dilindungi daripada pancaran matahari.
“Jangan sesekali memandang halo secara terus dan dalam tempoh yang lama dan perlu sembunyikan matahari dari penglihatan di sebalik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja,” katanya.
Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari kerana ia sangat berbahaya terutamanya ketika menggunakan kamera Single-lens reflex (SLR). – BERNAMA