Tuesday 22 November 2016

JAN JORGENSEN KURANG AJAR ???


PETALING JAYA: Juara perseorangan Terbuka China, Jan Jorgensen memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatannya melempar baju pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.


“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan itu. Bukan bermaksud saya untuk bersikap kurang ajar,” kata pemain Denmark itu dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Jorgensen turut menafikan dia menyebut mengenai Datuk Lee Chong Wei kepada Iskandar tetapi berkata demikian kepada jurulatihnya.

“Saya ada menyebut LCW kepada jurulatih saya, bukan kepada Iskandar, saya amat menghormatinya,” kata Jorgensen.

Tindakan pemain berusia 28 tahun itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Iskandar sendiri.

Insiden itu berlaku pada set ketiga perlawanan akhir Terbuka China, Sabtu lalu apabila kedua-dua pemain bertukar gelanggang.

Pada waktu itu, Iskandar terlupa untuk mengambil bajunya yang tertinggal di dalam kotak peralatan.

Jorgenson yang sepatutnya memaklumkan perkara itu kepada Iskandar, bertindak melemparkan baju yang tertera lambang Jalur Gemilang ke arah kawasan Iskandar.

Namun jurulatih Iskandar dengan tenang mengambil baju tersebut di atas lantai.

Malah selepas perlawanan, Iskandar mendedahkan kepada media bahawa Jorgensen sengaja memperlekehkannya dengan membezakan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dengan Chong Wei.

Iskandar turut meluahkan perasaan kecewanya terhadap sikap tidak profesional Jorgensen menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook.

“Baju saya mempunyai lambang negara Malaysia. Saya tidak mempunyai masalah jika anda tidak menghormati saya, tetapi tolong hormati Jalur Gemilang yang tertera pada baju saya,” kata Iskandar.

Dalam perlawanan terbabit, Iskandar tewas kepada Jorgensen dalam pertembungan tiga set dengan keputusan 20-22, 22-20, 7-21.-MS.

No comments: