Sunday, 26 June 2016

SAHIHKAH SERPIHAN DITEMUI DI TANZANIA MILIK MH370 ???

mh370 (1)

KUALA LUMPUR – Beberapa serpihan yang ditemukan di Tanzania, timur Afrika, dua hari lalu berkemungkinan milik pesawat jenis Boeing 777, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan. Bagaimanapun, pengesahan lanjut daripada negara itu masih ditunggu sebelum pasukan penyiasat Malaysia dihantar untuk meneliti serpihan berkenaan sama ada ianya milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada Mac 2014, ujar Liow.
“Kita dapat maklumat beberapa serpihan ditemui di Tanzania dan serpihan ini amat besar. Kita sudah menerima gambar serpihan.
“Bagaimanapun, sekiranya disahkan ia milik pesawat jenis Boeing 777 baru kita akan hantar pasukan penyiasat ke sana dan teruskan menyiasat sama ada ia milik MH370 atau tidak,” katanya pada sidang media bersempena Konvensyen Hui Zhou Sedunia Ke-9 di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Mengulas lanjut, Liow berkata serpihan yang ditemukan itu menepati corak aliran hanyut beberapa serpihan yang sebelum ini ditemukan berhampiran Afrika Selatan dan Mauritius.
Sebelum ini, beberapa serpihan yang dikaitkan dengan pesawat MH370 ditemukan sejak tahun lepas, namun hanya bahagian flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion di Lautan Hindi disahkan sebagai 100 peratus milik pesawat malang itu.

Berikut antara gambar-gambar penemuan serpihan pesawat di Tanzania yang ditemui MyNewsHub dalam sebuah forum tempatan di sana.






Sementara itu, Liow turut mengesahkan barangan peribadi yang ditemukan terdampar di pantai Madagascar baru-baru ini bukan milik penumpang pesawat MH370.

Jelasnya pengesahan itu dibuat oleh negara yang menjumpai barangan berkenaan selepas menjalankan beberapa proses analisis.
Ditanya pendirian Malaysia sekiranya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mahu menamatkan misi pencarian MH370 yang sedang dilakukan di Lautan Hindi, Liow berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat peringkat menteri tiga pihak untuk diputuskan pada pertengahan Julai ini.
“Kita harap misi pencarian ini diteruskan sehingga meliputi 120,000km persegi, bagaimanapun cuaca buruk di kawasan pencarian agak menyukarkan misi ini.
“Bagaimanapun keputusan kita akan berpandu kepada syor dan pandangan pakar-pakar semasa mesyuarat itu nanti,” katanya. – BERNAMA

No comments: