Monday, 28 March 2016

MATAF SEKELILING KAABAH AKAN DIRUNTUHKAN

Mataf keliling Kaabah diruntuh 1 April ini

MATAF iaitu binaan berbentuk bulatan di sekeliling Kaabah, yang digunakan oleh jemaah haji dan umrah ketika menunaikan tawaf di Masjidil Haram akan diruntukan secara berperingkat mulai Jumaat ini.

Pengurus Tapak Binaan Premier Composite Technologies, Hairul Nizam Baharuddin, berkata kerja-kerja meruntuhkan mataf akan mengambil tempoh 29 hari dan dijadualkan mataf tidak lagi digunakan menjelang Ramadan.
Beliau yang bertindak sebagai jurutera pembinaan mataf dan projek perluasan Masjidil Haram berkata, kerja-kerja meruntuhkan mataf itu bagaimanapun tidak menjejaskan jemaah untuk mengerjakan tawaf.

Katanya, jemaah boleh mengerjakan tawaf seperti biasa tetapi dinasihatkan tidak menghampiri zon larangan sepanjang tempoh komponen mataf dibuka bagi tujuan keselamatan dan sebagai usaha mengelakkan kejadian tidak diingin.
“Ruang untuk menunaikan solat dan bertawaf menjadi sedikit terhad dan boleh menimbulkan kesesakan tetapi pastikan jemaah mematuhi arahan laluan ke ruang perkarangan Kaabah dengan bantuan sekuriti dan mutawif,” katanya.
Mataf dibina untuk mengurangkan kesesakan di Masjidil Haram dan lebih khusus untuk jemaah berkerusi roda, berusia dan mereka yang berkeluarga. Ia mula dibuka kepada jemaah seminggu sebelum Ramadan pada 2013 untuk memudahkan mereka tawaf dan solat.
Mataf mampu menampung kira-kira 8,000 jemaah pada satu-satu masa dan sering menjadi tumpuan jemaah untuk bertawaf selepas Subuh, Maghrib dan Isyak.
“Seluruh binaan mataf yang menggunakan teknologi bahan komposit kukuh dari simen dan batu bata tidak lagi digunakan menjelang Ramadan pada Jun ini kerana arahan meruntuhkannya sudahpun diperoleh daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Menurut Hairul Nizam, berikutan kerja-kerja meruntuhkan mataf, kesesakan dan kesukaran untuk bertawaf dan bersolat dijangka dihadapi jemaah kerana projek perluasan serta naik taraf Masjidil Haram belum siap sepenuhnya.
Kawasan tawaf akan hanya tertumpu di perkarangan Kaabah dan ini boleh menjejaskan kelancaran ketika tawaf, terutama pada Ramadan dan musim haji tahun ini.
Sumber : Mstar

Post a Comment