Sunday, 6 March 2016

BEBERAPA HARI SEBELUM KEMALANGAN BERLAKU PASTI ADA PETUNJUK ANEH DAN MENYERAMKAN


PASIR GUDANG - Penduduk Rumah Pangsa Rosmerah di pinggir Lebuhraya Pasir Gudang sudah biasa dengan petanda menyeramkan setiap kali akan berlaku kemalangan maut di lebuh raya berkenaan.


Pengerusi Jawatankuasa Penduduknya, Mohd Fauzi Mokhtar berkata, penduduk bukan sahaja akan mendengar bunyi pelik, malah menyaksikan sesuatu yang menyeramkan kurang tiga hari sebelum berlaku kemalangan maut sejak lebih kurang 15 tahun menghuni rumah pangsa berkenaan.

Menurutnya, situasi itu menjadikan penduduk lali setiap kali berlaku kemalangan di lebuh raya yang hanya terpisah kurang 20 meter dari rumah pangsa yang berada di pinggirnya.

“Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada tiga hingga empat kes kemalangan yang berlaku di lebuh raya berhampiran dengan kediaman kami ni, setiap bulan pula pasti ada yang maut.

“Malah kami diberi tanda yang pelik dan menyeramkan seperti terdengar suara mengilai serta ada 'benda' tergantung di dahan pokok besar sepanjang lebuh raya berhampiran dengan kediaman kami.

“Jika menyaksikan sesuatu yang aneh tu, kami dah tahu pasti ada kemalangan maut yang akan berlaku dalam masa terdekat dan biasanya kurang tiga hari kemudian akan ada yang menjadi korban,” katanya, semalam.

Lembaga putih merangkak

Samsidah Moharam, 53, berkata, anak perempuannya yang ketika itu berumur 19 tahun pernah menyaksikan satu lembaga putih seolah seperti seekor burung besar sedang merangkak turun dari pokok di tepi lebuh raya dua tahun lalu.

“Dua hari anak saya demam tak kebah kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu dan beberapa hari kemudian memang benar seperti jangkaan kami ada yang terkorban dalam kemalangan.

“Walaupun kami dah biasa dengar bunyi tayar selepas dibrek kecemasan tak kira waktu siang atau malam, perasaan seram itu tetap ada,” katanya.

Samsidah berkata, sebelum itu dia hanya mendengar cerita dari jiran yang pernah terserempak dengan lembaga orang tua memimpin anak yang tiba-tiba hilang di tepi lebuh raya berkenaan.

Lihat kereta melayang

Abd Kadir Yusuf, 65, berkata, dia pernah melihat kejadian aneh apabila kereta boleh melayang sehingga tersangkut di celah pokok besar yang bercabang di tepi lebuh raya.

“Sebelum lebuh raya ini siap dinaik taraf, memang ada banyak pokok besar di pinggir lebuh raya ini, apabila waktu malam memang kelihatan agak menyeramkan.

“Penduduk memang akan berlari cuba menghulurkan bantuan setiap kali terdengar kemalangan, tapi apabila menyaksikan keadaan mangsa yang terputus kepala kadang-kala badi mayat terkena pada kita,” katanya memberitahu paling ramai yang menjadi korban lebuh raya tersebut adalah penunggang motosikal.

Bagi Abu Hashim Abd Manaf, 61, pusingan-U di lebuh raya berhampiran dengan kediamannya itu berisiko mengancam keselamatan penduduk kerana menyebabkan beberapa kejadian kenderaan terjunam ke bawah.

Katanya, penduduk rumah pangsa berkenaan kerap mengadakan majlis agama untuk mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

“Kita minta pihak bertanggungjawab memasang tembok di pinggir lebuh raya berhampiran kediaman penduduk kerana beberapa kejadian membabitkan kereta terjunam ke bawah kediaman kami sangat membimbangkan.

“Kita kerap mengadakan majlis agama mohon perlindungan daripada ALLAH SWT terutama mengelak gangguan makhluk halus dan keselamatan kepada pengguna lebuh raya Pasir Gudang,” katanya.

Sinar Harian 6 Mac 2016

No comments: