Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi oleh suspek yang berusia 39 tahun semasa dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Dia dikatakan mengangkat anak lelakinya, Rojas Jonvin, 8, serta mengambil pisau berwarna merah dari dapur rumah dan menikam kanak-kanak itu di belakang badan hingga maut.

Isteri suspek, Edwena Doca, 49, yang juga warga Filipina turut ditikam di perut sebelah kanan ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 2.25 pagi sebelum sepasukan polis tiba di lokasi dan berjaya menahan suspek.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori berang selepas isterinya meminta wang gaji untuk membeli barang keperluan dapur.

“Isteri mangsa yang cuba menyelamatkan kanak-kanak malang itu ditikam di perut sebelum sempat melarikan diri meminta pertolongan daripada jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, Edwena merupakan isteri kedua lelaki tersebut dan tidak mempunyai anak bersama manakala kanak-kanak malang itu merupakan anak suspek dengan isteri pertama.

Tambah Douglas, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Keningau sebelum diserahkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Kata beliau, hasil bedah siasat mendapati, terdapat satu luka hirisan pada bahagian hadapan leher kiri kanak-kanak sehingga mencederakan otot serta saluran darah utama.

Ujarnya, Rojas juga mengalami kecederaan akibat tikaman di tulang rusuk, dada serta buah pinggang.
“Punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan oleh luka hirisan di leher dan kedua-dua tikaman di dada sebelah kiri,” katanya.

Douglas memberitahu, isteri suspek kini dirawat di Hospital Keningau dan ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis syabu pula direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.