Saturday, 23 January 2016

POLIS TEMUI BMW HITAM LANGGAR LARI 3 PENGANUT HINDU SERTAI PERARAKAN THAIPUSAM


PETALING JAYA :  Polis telah menemui kereta jenis BMW yang dipercayai terbabit merempuh tiga penganut Hindu yang menyertai rombongan berjalan kaki dari Senawang ke Batu Caves untuk sambutan Thaipusam pagi tadi.

 
Dalam satu kenyataan petang ini, Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Zaki memberitahu, pemandu kereta BMW warna hitam berkenaan telah melanggar mangsa-mangsa dengan tidak berhenti dan kemudian melarikan diri.


“Kemalangan berlaku di lorong kecemasan dimana terdapat satu kumpulan enam orang pejalan kaki dari Seremban menuju ke Batu Caves. Apabila menghampiri susur persimpangan ke Sri Petaling di lorong kecemasan kereta itu telah melanggar ke semua mangsa,”katanya.

Akibat kejadian itu, tiga lagi pejalan kaki mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia adalah K. Saravanan, 45, C. Kannan, 53, dan S. Papa, 53.

Sehingga kini, kata Zaki, pihaknya masih lagi mengesan pemilik kereta berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - FMT


BERITA SEBELUMNYA....


KUALA LUMPUR: Tiga penganut Hindu yang menyertai rombongan berarak secara berjalan dari Senawang ke Batu Caves untuk sambutan Thaipusam, maut dirempuh sebuah kereta di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran Seri Petaling di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, tiga lagi peserta dipercayai parah.

Kereta BMW yang merempuh keenam-enam mangsa, yang dipercayai dipandu seorang lelaki, meninggalkan tempat kejadian sejurus kemalangan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dirawat.


No comments: