Saturday 5 December 2015

BAYAR HUTANG RM4JUTA GUNA CEK TENDANG PUNCA AHLI PERNIAGAAN MATI DITEMBAK DI HATYAI ???


SONGKHLA – Motif pembunuhan ahli perniagaan Malaysia, Lee Ah Han di Hatyai pada Jumaat adalah kerana perselisihan bisnes melibatkan hutang berjumlah 35 juta baht (RM4.11 juta) kepada seorang ahli perniagaan dari Malaysia, menurut polis selatan Thailand. 

Maklumat perisikan polis mendapati bahawa mangsa ada masalah hutang sebanyak 35 juta baht yang dibayar menggunakan cek tendang dan telah berlanjutan selama enam bulan, kata Ketua Polis Mukim Thunglung, Kolonel Polis Vichapan Chantraporn. 




Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti ahli perniagaan tersebut. 

Ah Han, 54 tahun, juga dikenali sebagai Ali Baba merupakan ahli peniagaan hartanah yang mati ditembak pada Jumaat di daerah Hatyai ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai bersama isterinya, Mayuree Thipmani, 42 tahun. 

Mayuree cedera parah dalam kejadian tersebut. 


Pada Sabtu, pihak polis yang melakukan siasatan kes pembunuhan tersebut telah mengadakan mesyuarat di balai polis Thunglung, Hatyai, Songkhla, untuk merungkai fakta kes pembunuhan tersebut. 

Selain itu, pegawai polis mencari bukti dan meneliti kamera litar tertutup di tempat kejadian dan kawasan berdekatan untuk mengenal pasti kereta suspek. 

Ah Han adalah seorang ahli peniagaan yang terkenal di sempadan Malaysia-Thailand khasnya di Danok, Sadao, dan beliau turut menjadi orang tengah dalam urusan jual-beli tanah di Danok yang melibatkan ahli peniagaan Malaysia. 

Vichapan berkata, mangsa ditembak semasa berada dalam sebuah Mercedes Ben S300 oleh penembak yang berada dalam sebuah kereta menggunakan raifal M16 di Jalan Kanchanavanich, Kampung Klongplom, Mukim Thunglung, Hatyai. Mendiang yang berasal dari Kedah tetapi sudah lama menetap di Mukim Sanakam, Daerah Sadao, Songkhla dilaporkan terkena lebih 10 das tembakan di bahagian kepala dan badan serta terdapat berpuluh-puluh kesan tembakan pada keretanya.


SUMBER

No comments: