Tuesday, 3 November 2015

HIBA.. BERLAKU PADA HARI YANG SAMA - AYAH MENINGGAL DUNIA, HARI PERTAMA SPM DAN ULANGTAHUN KELAHIRAN


Perasaan hiba dan sedih yang menyelubungi seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nor Fatin Najhan Hasaruddin, 17, selepas menjawab kertas pertama SPM iaitu Bahasa Malayu 1, apabila dimaklumkan ayahnya telah meninggal dunia 7 jam sebelum itu.


Bapa Fatin, Nasrudin Hashim telah meninggal dunia pada jam 2.50 pagi tetapi berita pemergian bapanya itu tidak dimaklumkan kepada Fatin yang tinggal di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Muar kerana tidak mahu mengganggu tumpuannya untuk menghadapi SPM.


Lebih memilukan pemergian Nasrudin yang menghadapi komplikasi buah pinggang itu adalah pada hari lahir Fatin yang ke 17.

Menurut Fatin, dia telah dimaklumkan tentang pemergian bapanya itu selepas selesai menjawab kertas BM 1 sebelum dibawa pulang oleh kakak dan abangnya untuk majlis pengebumian.

“Ketika itu saya agak ralat kerana dimaklumkan agak lambat tentang pemergiaan ayah, namun jika difikirkan balik saya redha kerana tahu keluarga tidak mahu saya hilang tunpuan untuk menduduki SPM.”

“Tiada apa yang dapat saya ungkapkan, hiba apabila insan yang paling rapat dengan saya pergi untuk selama-lamanya,” katanya dipetik Harian Metro.

Fatin bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana sempat menghadiri majlis pengebumian ayahnya itu yang diadakan pada jam 11 pagi di tanah perkuburan Islam Parit Tiga, Muar.

“Ayah telah berpesan sebelum ini supaya saya menumpukan perhatian penuh kepada SPM dengan tidak terlalu memikirkan akan kesihatannya.”

“Arwah kata tanggungjawabnya adalah mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya, seperti ada maksud disebalik kata-kata itu, tidak sangka ayah pergi pada hari pertama saya menduduki SPM yang juga merupakan hari lahir saya,” katanya lagi.

Sumber : SK

Post a Comment