Friday, 16 October 2015

POLIS BURU KETUA KUMPULAN GANGSTER TETAK KONTRAKTOR


SHAH ALAM: Polis sedang memburu seorang ketua kumpulan gangster bagi membantu siasatan kes dua kontraktor diserang dan ditetak di kawasan Pandamaran, Pulau Indah, Pelabuhan Klang awal bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata suspek dikenali sebagai Lim Poh Seong atau Ah Bao, 39, (gambar) beralamat di Pandamaran yang dipercayai ketua kumpulan 'Ang Su Tong'.

Beliau berkata dalam kejadian 4.30 petang, 4 September lepas, kedua-dua kontraktor yang merupakan adik beradik itu cedera parah akibat ditetak empat lelaki tidak dikenali menggunakan parang dan pedang samurai.

"Mangsa berumur 55 tahun hampir putus pergelangan tangan kanan dan cedera dibahagian kaki serta badan sementara seorang lagi mangsa berumur 49 tahun cedera di bahagian tangan kanan.

"Motif kejadian dipercayai berpunca daripada keengganan kedua-dua mangsa yang baru mendapat projek bagi kerja-kerja pelandskapan di sebuah kawasan di Pulau Indah membayar wang perlindungan kepada kumpulan ini," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Mohd Adnan berkata sehingga kini pihaknya menahan 12 suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang diburu supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Sukri Ayob di talian 012-5586363 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Mohd Adnan dalam pada itu berkata pihaknya juga sedang memburu tiga suspek bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki di Bandar Baharu Klang dekat sini pada 21 Ogos lepas.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki yang diburu itu ialah Lim Hock Seong, 28,dari Taman Meru Selatan, Klang; Oh Cheok Seng @ Ah Lu, 51, dari Jalan Batu Belah, Klang dan Loke Kok Chew, 53, dari Jalan Tiong Off Jalan Meru, Klang.

"Dalam kejadian itu, mangsa berumur 45 tahun terkena dua das tembakan dipaha kiri serta perut dan meninggal dunia selepas 17 hari menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Motif kejadian dipercayai balas dendam,"katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki ini supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Chua Hang Loun di talian 019-3193193 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Post a Comment