Monday 26 October 2015

75% BERITA VIRAL DI MEDIA SOSIAL ADALAH PALSU ???


Usaha mengukuhkan perpa­duan dalam kalangan masya­rakat berbilang kaum di negara ini semakin mencabar berikutan berlakunya penyebaran berita yang tidak benar di media sosial terutama menerusi aplikasi WhatsApp.


Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kapli Emek berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati kira-kira 75 peratus berita atau perkara diviralkan di media sosial adalah palsu.

“Peratusan itu diperoleh menerusi tinjauan yang dilakukan pi­hak kami dan mendapati ada kandungan yang diviralkan menerusi media sosial ditokok tambah sehingga menimbulkan keadaan negatif.

“Hanya sebahagian kecil adalah betul dan ini memberi kesan serta cabaran besar kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam perjumpaan bersama ahli jawatankuasa Rukun Tetangga negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Fairojibanu Zainal Abidin dan.

Berikutan itu Kapli berkata, semua pihak perlu memainkan peranan mereka dalam mengukuhkan perpaduan kaum dengan tidak menyebarkan sesuatu perkara sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berwajib.

Sementara itu, kata beliau, antara cabaran lain dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat di negara ini adalah tindakan segelintir pihak menyebarkan isu yang menghina agama dan kaum lain.

Perkara seumpama itu, tegasnya, harus dibendung lebih awal bagi mengelakkan daripada menular agar usaha memupuk perpaduan yang menjadi antara aspek utama dalam membangunkan negara dapat dijayakan.

“Kita perlu memahami lima prinsip yang sudah diperkenalkan dalam Rukun Negara bagi mewujudkan kembali sikap saling menghormati, sekali gus memupuk perpaduan masyarakat majmuk.

“Pemimpin di peringkat akar umbi juga harus memainkan peranan bagi membina bangsa Malaysia yang positif, tiada orang luar boleh membentuknya kecuali kita sendiri,” katanya.

Utusan

No comments: