Saturday 19 September 2015

PRO-ASPIRASI RAMPAS KEMBALI 3 UNIVERSITI KUBU PEMBANGKANG


KUALA LUMPUR 19 Sept - Kumpulan pro-Aspirasi merampas kembali 3 universiti yang sebelum ini dikuasai seterunya pro-Mahasiswa, dalam pilihan raya kampus yang sedang berlangsung ketika ini.

Tiga universiti itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kemenangan 26 daripada 31 kerusi, Universiti Malaya (UM) dengan kemenangan 34-6 dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kemenangan 12-11, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) masing-masing menyaksikan pro-Aspirasi menyapu bersih 28 dan 48 kerusi, kata akhbar itu.

Dua lagi universiti yang kekal milik pro-Aspirasi ialah Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dua hari lalu menyaksikan persitiwa berdarah apabila pilihan raya kampus dicemari insiden presiden Gerakan Mahasiswa UKM Muhammad Syahir Rahimi yang cedera parah diganasi dengan 5 torehan di kepala dan badan dalam satu serangan.

Beliau didakwa diserang 2 lelaki sewaktu menjaga kain rentang dan poster pilihan raya.

Sementara itu, di UIAM, kumpulan pro-Mahasiswa yang menamakan diri mereka We Unite For Islam (Wufi) itu mendakwa, ada pihak yang cuba menyebarkan maklumat palsu dengan mengumumkan pro-universiti (calon tajaan pentadbiran) berjaya menawan universiti itu. 

Presiden Wufi, Azzan Aznan Abdul Rahim dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan tersebut sebagai “kelihatan sangat terdesak”. 

Katanya, pilihan raya kali ini yang pertama dalam sejarah diadakan 10 hari selepas semester baru bermula. 

“Namun, dalam masa persediaan yang singkat, Wufi berjaya menyekat kemaraan proksi Umno di UIAM melalui campur tangan pihak pentadbiran,” kata Azzan.

Beliau mendakwa Wufi sekali lagi menjulang kemenangan dalam pilihan raya kampus pada 17 September lalu apabila berjaya menawan 14 daripada 18 kerusi kulliyyah (fakulti) yang dipertandingkan. 

Katanya, 18 kerusi itu dipertandingkan di kalangan pelajar Malaysia manakala 5 kerusi pula diperuntukkan bagi pelajar antarabangsa.

Keseluruhannya, seramai 23 orang dipilih menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2015/2016.

No comments: