Sunday 20 September 2015

ORANG PAS KELANTAN MAHU TAHU MENGENAI SKANDAL BALAK NEGERI SENDIRI


Penulis mengenali Dato’ Husam Musa bukan baru, tetapi kami suatu masa dulu pernah bersama menjawat jawatan Setiausaha Akhbar Menteri Besar 1990an (tetapi penulis lebih awal, 1987 berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar).


Beliau berkhidmat untuk Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, manakala penulis berkhidmat untuk Tan Sri Wan Mokhtar.

Cuma selepas itu beliau terus maju jaya dalam kerjaya politiknya dan penulis tetap menjadi penulis.

Walaupun kedudukannya dalam politik Pas sekarang agak terumbang-ambing, tetapi beliau masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri, Salor Kelantan.

Penulis tahu, Husam seorang yang tegas dan serius dalam soal-soal agama dan pentadbiran kerana kami dulu seringkali berbincang tentang perkara berkenaan.

Penulis pernah bersama Husam ke Pejabat Kerajaan Kelantan, masa itu di Bukit Bintang- beliau bermalam di sana bila ada urusan di Kuala Lumpur- tidak menginap di hotel.

Kami pernah sama-sama satu kereta untuk satu program di Negeri Sembilan- kereta model Mazda 323 sahaja waktu itu kepunyaan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang (saya lupa namanya). Ketika itu, Tan Sri Khalil Yaacob Menteri Besar Pahang (kini Yang DiPertua Negeri Negeri Melaka).

Turut sama dalam kereta ialah Setiausaha Akhbar, Tan Sri Leo Moggie Menteri Kerajaan Persekutuan waktu itu. Penulis juga lupa namanya tetapi dari suku Dayak Sarawak , tetapi seingat penulis beliau  amat suka membeli  ‘nombor ekor’.

Bila tiba di satu simpang, kereta kami berhenti dan Setiausaha Akhbar dari Sarawak itu memanggil seorang agen keputusan ‘nombor ekor’ untuk membeli senarai keputusan, lantas penulis bergurau kepada Husam “Husam kau nak hapuskan judi,  itu hobi kawan baik kita tu…”.

Husam hanya tersenyum tanpa menjawab apa-apa.

Itu kisah lama….

Berbalik kepada kisah sekarang, penulis hendak beritahu betapa tegasnya Husam, walaupun beliau masih berada dalam Pas dan masih menjadi wakil rakyat Pas (Adun Salor), tetapi beliau tetap mempersoalkan skandal balak Kerajaan Pas Kelantan, khususnya di bawah Kompleks Perkayuan Kelantan ( KPK).

Dalam satu kenyataan media terbarunya semalam (19 September) beliau mempersoalkan tentang kerugian yang dialami teruk oleh KPK milik kerajaan Kelantan itu.

Husam mempersoalkan kenapa KPK menyerahkan semua konsensi tebangan tahunannya seluas 2,000 ekar dengan harga yang sangat murah iaitu RM1,700 sahaja seekar kepada sebuah syarikat lain?
Siapa syarikat lain? Itu persoalannya?

Mengapa berlaku perberhentian hampir kesemua pekerja syarikat itu?

Malah Husam mendakwa KPK telah berkubur! Namun dakwanya, ada pihak lain yang mengaut kekayaan?

Malah dakwa Husam lagi, rancangan mengutip RM50 juta untuk Dana Rumah Mampu Milik pun gagal- dan apa yang telah berlaku kepada kawasan hutan balak KPK seluas 20,000 ekar yang dikhaskan untuk tujuan dana itu?

“Saya mengesyaki ada niat tersembunyi dari semua perkembangan ini dan ada kebocoran serius” dakwa Husam yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan era Allahyarham Datuk Nik Aziz.
Berikut adalah teks penuh kenyataan media Dato’ Husam Musa:

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih

KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN (KPK) BERKUBUR?

Saya telah mengirim surat memohon penjelasan mengenai beberapa isu yang saya kira penting dan perlu disegerakan berkait Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) kepada YAB MB Kelantan pada 7 September 2015.

Sehingga hari ini (19hb September), saya tidak menerima apa-apa jawapan dari kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan.

Kedudukan KPK sangat merosot bagi tahun tahun kebelakangan berbanding zaman kegemilangannya dahulu.

Satu cara untuk melihat kedudukan KPK ialah penyata untung rugi nya. Mengikut penyata kewangan yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) keuntungan KPK telah merosot dengan teruknya. Sebagai contoh, bagi tahun 2012 hingga tahun 2014 kedudukannya adalah seperti di bawah;
  • 2012:
Pendapatan – RM24,673,571
Keuntungan Lepas Cukai – RM1,018,126
  • 2013:
Pendapatan – RM14,745,426
Keuntungan Lepas Cukai – RM1,430,376
  • 2014:
Pendapatan – RM12,923,615
Keuntungan Selepas Cukai – RM700,569

Dalam surat saya, saya telah memohon penjelasan mendesak iaitu kenapa KPK menyerahkan semua konsensi tebangan tahunannya seluas 2,000 ekar dengan harga yang sangat murah iaitu hanya RM 1,700 se ekar kepada syarikat lain.

Tindakan ini diikuti dengan pemberhentian hampir kesemua pekerjanya. Syarikat menjadi seolah dormant dan tidak mempunyai apa-apa aktiviti lagi kecuali memungut bayaran atas konsensinya yang tidak seberapa.

Dalam kata lain, KPK telah berkubur!

Tetapi ada pihak lain yang akan terus mengaut kekayaan dari kawasan konsensinya setiap tahun!

Tidak kurang pentingnya adalah mengapa rancangan untuk mengutip sejumlah RM 50 juta untuk Dana Rumah Mampu Milik Rakyat Kelantan gagal dan apa yg telah berlaku kepada kawasan hutan KPK seluas 20,000 ekar yang dikhaskan untuk tujuan itu.

Saya mengesyaki ada niat tersembunyi dari semua perkembangan ini dan ada kebocoran serius.

Sekalipun YAB MB tiada dalam negeri, saya yakin Pengerusi KPK sekarang dan bekas Pengerusi sebelum ini perlu mengambil tanggung jawab dan memberikan penjelasan penuh bagi pihak KPK.

Saya menuntut YB Zulkifli Mamat (bekas pengerusi dan ahli lembaga pengarah sekarang) dan YB Azami Mohd Nor ( Pengerusi kini) memberikan penjelasan terbuka yang diperlukan.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) juga dituntut untuk bertindak balas terhadap persoalan-persoalan yang saya bangkitkan dalam surat saya terdahulu.

Sekiranya tiada penjelasan memuaskan, saya akan mengambil tindakan lain seterusnya selepas satu tempoh dari kenyataan ini.

Sekian

Husam Musa
ADUN Salor
5 Zulhijjah 1436/19hb September 2015

Penulis sebagai sahabat lama, yakin dan percaya, Dato’ Husam akan terus memperjuangkan kebenarannya dan mendedahkan penyelewengan dalam Kerajaan Pas Kelantan, khususnya dalam kes skandal balak ini.

Ini penting untuk menyelamatkan harta milik rakyat negeri jiran kita, serta mengelak musibah banjir yang berpunca dari penebangan yang dibuat tanpa peraturan dan sesuka hati oleh pihak yang berkepentingan.

By  :  teganukita.my

No comments: