Sunday 6 September 2015

KEVIN ANTHONY MORAIS HILANG.... KERETA TERBAKAR DI HUTAN MELINTANG ???


Polis mengesahkan terdapat laporan dibuat berkenaan kehilangan Timbalan Pendakwaraya, Kevin Anthony Morais dari Jabatan Peguam Negara.


Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa setelah cubaan menghubungi Kevin gagal.

“Ya, laporan telah dibuat dan kita sedang melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Kevin sebelum ini berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan.

Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu.

Sementara itu, menurut portal berita The Rakyat Post yang memetik sumber berkata pemeriksaan di pejabatnya mendapati beliau gagal hadir ke tempat kerja pada Jumaat.

Rakan beliau kemudian dikatakan menghubungi abang sepupunya, Datuk Richard Morais, yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada jam 6 petang Sabtu.

Portal itu turut menyatakan bahawa Kevin kembali ke Jabatan Peguam Negara selepas menyelesaikan tugas di SPRM.

Difahamkan, Kevin kali terakhir menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q. Sumber: Astro Awani

KERETA TERBAKAR DI HUTAN MELINTANG MUNGKIN MILIK KEVIN ANTHONY MORAIS

Kereta dijumpai rentung di ladang kelapa sawit Hutan Melintang

Sebuah kereta dijumpai rentung di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penemuan kereta berkenaan dipercayai jenis Honda Accord.

“Kenderaan tersebut ditemui orang awam sekitar jam 10 pagi tadi, yang kemudian menghubungi pihak polis,” jelas beliau.

Bagaimanapun pihaknya masih cuba mencari dan mengenal pasti jenis kereta dan nombor casis kenderaan untuk siasatan lanjut.

Mengulas mengenai kemungkinan kenderaan berkenaan milik bekas Timbalan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak Jumaat, beliau berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut.

“Akibat impak kebakaran, kenderaan tersebut rentung sepenuhnya, dan pihak forensik gagal mengenal pasti nombor chasis, sehubungan itu pihak kami masih lagi cuba mencari kaedah lain untuk mengenal pasti kenderaan terbabit,” jelasnya.

Siasatan awal juga tidak menemui kesan lain dalam kenderaan itu.

“Tiada mayat ditemui, hanya kereta sahaja,” jelas Mohd Shuhaily.

Laporan polis berhubung kehilangan Morais dibuat ahli keluarganya pada petang Sabtu selepas dia gagal dihubungi.

Morais dari Jabatan Peguam Negara sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan di SPRM.

Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu, menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Sidang media berkenaan penemuan kenderaan itu dijangka diadakan sekitar 3 petang ini. Sumber: Astro Awani

No comments: