Tuesday 18 August 2015

BNBBC TIDAK TERLIBAT KOMPLOT GULINGKAN KERAJAAN

Kuala Lumpur, 18 Ogos--Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Sharir Samad menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media berhubung penafian ahli Parlimen Barisan Nasional dalam komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia di Bangunan Parlimen Malaysia petang ini. Turut bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional. - Foto : MediaUMNO
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) hari ini menafikan dakwaan anggotanya terlibat dalam komplot menggulingkan kerajaan.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata tidak ada seorang pun anggotanya yang dihubungi atau menghubungi pihak tertentu untuk melompat parti dan tidak menyokong kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ia adalah dakyah bahawa ada gerakan sedemikian,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri 34 anggota BNBBC di Bangunan Parlimen di sini.
Shahrir mengulas dakwaan yang tersebar dalam media sosial bahawa 20 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan bersepakat dengan pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada perdana menteri di Parlimen.
Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan adanya komplot untuk menggulingkan kerajaan dengan cara menarik 37 anggota Parlimen BN menyertai 87 pembangkang serta seorang anggota Parlimen Bebas.
Beliau berkata ini bertujuan untuk membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan selepas Najib membentangkan Bajet 2016 pada Oktober ini.
Shahrir menjelaskan kesemua anggotanya memberi sokongan kepada kerajaan dan parti memerintah.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menyebarkan dakwaan komplot itu.
“Kita rasa amat kecewa dakwaan ini diterbitkan dalam blog tertentu termasuk gambar (Anggota Parlimen BN) yang kononnya memberi gambaran komplot itu adalah benar,” katanya sambil menambah empat laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.
Shahrir turut menepis andaian bahawa isu komplot itu timbul untuk mengaburi polemik 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Katanya beliau akan bertemu dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri berhubung dakwaan penglibatan anggota majlis itu dalam komplot berkenaan.
Mengulas isu itu, Anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul berkata beliau tidak pernah terfikir untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang didakwa.
“Ini perbuatan tidak baik… bagi kami anggota BNBBC, tidak timbul hasrat untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Anggota Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz pula berkata kesemua anggota Parlimen tidak pernah diajar untuk menderhaka kepada parti dan pemimpin.
Turut hadir Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad, Anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - UMNO Online

No comments: