Monday 31 August 2015

BEKAS PEGUAM DIRAJA GESA SULTAN JOHOR LETAK JAWATAN DAN MASUK POLITIK

Embedded image permalink

Kuala Lumpur – Seorang bekas peguam kepada keluarga Diraja Johor, Kamarul Hisham Jaafar menggesa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar segera melepaskan tahta pemerintahannya dan masuk ke arena politik.


Beliau menerusi status di laman Facebook berkata, gesaan itu dibuat ekoran dari kecenderungan dan minat yang ditunjukkan oleh baginda dalam isu-isu politik tanahair sejak kebelakngan ini.

Kamarul melalui status yang sama turut mendakwa amat mengenali Sultan Ibrahim.

“Jika Sultan Johor sudah mula menampakkan minat terhadap politik dan bercakap macam ahli politik maka letaklah jawatan turun tahta berjuanglah untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Baginda memang mempunyai ciri-ciri dan karisma sebagai seorang ahli politik yang berkaliber ikhlas mesra rakyatnya. Rakyat Johor pasti gembira,” katanya.

Menurutnya, memandangkan sistem perundangan dan pentadbiran negara yang sedang digunakan tidak membenarkan Sutan untuk tidak mencampuri politik maka inilah cara terbaik jika Sultan Johor benar- benar ikhlas untuk membela rakyat dan keadilan.

“Begitu juga jika Sultan terlalu aktif dan berminat untuk menjadi ahli perniagaan maka turun tahta dan tumpukan kepada bidang perniagaan. Serahkan jawatan kepada TMJ. Bersainglah secara adil dan telus melobi kontrak- kontrak perniagaan terutamanya dari kerajaan dan GLC’s,” begitulah bunyi tulisannya.

Kamarul melalui tulisannya itu turut dilihat menyindir Istana Johor apabila mengatakan mudah untuk menjadi kaya atau membina empayar perniagaan apabila mempunyai pengaruh dan jawatan.

Beliau menyifatkan kenyataan yang dikeluarkannya itu merupakan nasihat kepada bakal YAB Ibrahim Ismail sambil menegaskan “taat setia bersyarat dan derhaka bersebab”.

Kamarul kini berada di Dubai setelah didakwa menyeleweng wang RM660,000 milik sebuah syarikat berpangkalan di Johor, Southern Ads Sdn Bhd yang dikatakan mempunyai kaitan dengan istana Johor.

Beliau meninggalkan negara pada April 2011 selepas laporan polis terhadapnya dibuat pada 31 Mac oleh syarikat tersebut, yang mendakwa bahawa terdapat elemen jenayah berhubung cara beliau mengendalikan syarikat berkenaan. – SuaraTV

No comments: