Tuesday, 7 July 2015

MUKHRIZ TERSEPIT KEMELUT PERTELAGAHAN ANTARA TUN M DAN PERDANA MENTERI


ALOR SETAR - Setelah sekian lama mendiamkan diri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah akhirnya dilapor telah bersuara mengenai kemelut yang berlaku antara ayahandanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam satu majlis iftar di ibu negara, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir membayangkan dirinya dalam keadaan "tersepit" dicelah pertelagahan tersebut dan mengambil pendirian untuk berdiam diri bagi tidak mengeruhkan keadaan yang berlaku.

“Saya tersepit antara dua tokoh besar dalam negara, satu pemimpin, satu bapa sendiri. Dalam istilah Bahasa Inggeris, ‘stuck between a rock and hard place’, maksudnya dua-dua keras, kita duduk tengah-tengah. Dalam Bahasa Melayunya, ‘bila gajah berperang kita nak lari mana.

“Saya ambil pendirian ‘duk’ senyap sahaja. Nak komen pandai-pandai, nanti ada yang terguris hati. Saya ambil pendirian untuk tidak mencelah. Secara peribadi tentunya saya ada pendirian. Tapi saya fikir apa kesan kepada parti, orang Melayu dan negara kita,” kata Mukhriz.

Bagaimanapun, Mukhriz menegaskan tentang kepentingan untuk taat pada pemimpin dengan mengeluarkan hujah yang dipetik dari tokoh besar Islam, Imam Al-Al-Ghazali.

"Walaupun ada masalah, kita wajib taat kepada pemimpin.

"Saya tak sangsi, tak fikir dua kali untuk memilih pilihan yang pertama iaitu taat kepada pemimpin," tegas Mukhriz.

Namun di sebalik ketaatan tersebut, beliau turut senada dengan Mohd Najib yang mahu kebenaran mengenai isu 1MDB ditegakkan dan siasatan terperinci perlu dilaksanakan untuk menjawab pelbagai persoalan sekaligus memberi kefahaman tentang sokongan yang diberikan.

"Kalau kita mesti taat, biarlah taat dalam keadaan yang celik mata, bukan taat kerana kita tak tahu apa benda.. atau dalam bahasa yang lebih kasarnya, taat buta tuli," jelas Mukhriz lagi.

Mukhriz menegaskan bahawa beliau boleh dikatakan hampir setiap hari berdoa agar kemelut yang melanda antara kedua pemimpin yang beliau segani itu akan berakhir segera dengan keadaan baik demi masa depan negara.

Mohd Najib sebelum ini berusaha keras menepis pelbagai tohmahan yang ditujukan padanya berkenaan persoalan isu 1MDB yang dibangkitkan Dr Mahathir melalui siasatan forensik terperinci dan berikrar tidak akan melepaskan sesiapa saja jika didapati melakukan penyelewengan.  -Kedahnews.com

Post a Comment