Thursday 2 July 2015

HOKI HWL : MALAYSIA GAGAL KE OLIMPIK SELEPAS KECUNDANG DI TANGAN INDIA 2 - 3


KUALA LUMPUR – Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila tumpas 2-3 kepada India pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Sedunia (HWL) di Stadium KHC Dragons di Antwerp, Belgium.

Kali terakhir Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik ialah di Sydney pada 2000.

Pada Ahad lepas, Malaysia tewas 1-3 kepada Great Britain untuk menduduki tempat ketiga Kumpulan B. Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut selepas tumpas 0-2 kepada tuan rumah Belgium pada Jumaat lepas.

Malaysia memulakan kempen pada kejohanan tersebut dengan bergaya apabila mengalahkan China 3-2 dan menewaskan Ireland 4-2.

Tiga pasukan teratas pada kejohanan tersebut layak secara automatik beraksi pada Sukan Olimpik 2016, manakala pasukan di kedudukan keempat masih berpeluang layak ke temasya sukan tersebut.

Pada aksi hidup mati menentang India hari ini, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan India pada minit ketiga menerusi Satbir Singh yang tidak dikawal, namun skuad negara bangkit menyamakan kedudukan melalui ketua pasukan Mohd Razie Abdul Rahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

Malaysia terus menampilkan aksi terbaik dan mencipta banyak peluang dengan dua pukulan sudut penalti pada suku kedua perlawanan namun sukar membolosi pintu gol India, sehinggalah pada minit ke-23.

Shahril Saabah yang membuat penampilan pertama pada kejohanan tersebut berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan ‘The Speedy Tigers’ di hadapan tujuh minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Penjaga gol Roslan Jamaluddin yang menggantikan tempat S. Kumar, yang terpaksa pulang ke tanah air berikutan kematian anak lelakinya sebelum kejohanan itu bermula, berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya India pada suku ketiga permainan.

Namun di suku keempat perlawanan, dua pukulan sudut penalti daripada Jasjit Kular Singh pada minit ke-49 dan 56, meranapkan harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau beraksi pada Sukan Olimpik. – BERNAMA

No comments: