Friday, 12 June 2015

TANGAN MISTERI DIRAKAM KAMERA DI TAMAN KINABALU SELEPAS GEMPABUMI !!!


PERHATIKAN BETUL-BETUL gambar di atas.  Sekali pandang mungkin anda tidak perasan ada sepasang tangan misteri dikesan muncul pada dua gambar berasingan yang diambil tidak lama selepas berlakunya gempa bumi sekuat 5.9 skala ritcher di Sabah Jumaat lalu.


Gambar asal yang dirakam di Taman Kinabalu itu dikongsi oleh Naib Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah, Samasuddin Yusop yang turut berada di dalam gambar berkenaan.

“Ramai yang bertanya tentang gambar itu, tetapi kami menghadapi kesukaran untuk menentukan sama ada milik ‘makhluk’ lain atau kesilapan kamera,” kata bekas Ketua Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

Gambar yang kini menjadi viral di laman sosial itu dikatakan telah dirakam dua gajet berasingan iaitu telefon bimbit dan kamera jenis Nikon.

Ketika gambar itu dirakam oleh telefon bimbit, terdapat sepasang tangan muncul di bahagian poket seluar lelaki yang dikenali sebagai Misbahuddin Rida, manakala gambar yang dirakam oleh kamera pula hanya kelihatan sebelah tangan, dalam kedudukan yang sedikit berubah.

Kumpulan PKB tersebut dilaporkan melawat Gunung Kinabalu pada Selasa untuk menyampaikan sumbangan kepada malim gunung dan anggota polis yang terjejas akibat gempa berkenaan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada malim gunung Mohd Rizuan Kauhinin yang menjadi wira apabila menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang cedera semasa menuruni gunung selepas berlaku gempa.

Gambar malim gunung berkenaan kemudian menjadi viral di laman sosial di dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Menurut Samasuddin, imej yang dirakam daripada telefon bimbit kelihatan lebih menyeramkan daripada yang diambil menggunakan kamera.

“Sehari selepas gambar diambil, ahli kumpulan kami telah memeriksa semula imej itu dan kami semua terkejut melihatnya,” ceritanya.

Bagaimanapun, Samasuddin tidak bimbang dengan kemunculan tangan berkenaan kerana mereka mempunyai niat yang baik ketika berkunjung ke Gunung Kinabalu.

Samasuddin sebaliknya menganggap ia sebagai kejadian aneh yang memberi pengajaran baru kepada mereka.

Dia memberitahu, pelbagai upacara keagamaan masih dilakukan oleh masyarakat setempat disamping pelbagai pihak berkuasa sedang berusaha melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Kami hanya mampu sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa-mangsa yang beragama Islam, dan bagi bukan Islam, kami berdoa agar mereka bersemadi dengan aman,” katanya.

Dalam pada itu, Misbahuddin tidak memandang serius terhadap kemunculan tangan di poket seluarnya.
“Pada mulanya, saya bimbang dengan kemunculannya, tapi tak apa… ia perkara normal.

“Saya memikirkan ia tangan kanan saya, tetapi merasa pelik kerana kedudukan tangan saya ketika itu adalah lurus dan agak susah untuk melakukan demikian,” jelasnya.

Walaupun tidak ingat akan keadaan sebenar tangannya semasa gambar diambil tetapi Misbahuddin yakin bahawa ia bukan anggota badan miliknya.

“Tangan itu agak gelap dan kukunya seperti telah mati. Saya juga agak gelap tetapi tangan kanan saya tidak segelap yang muncul, malah ketika itu saya memakai baju lengan panjang, tetapi tidak kelihatan baju itu,” ceritanya.

Sumber: Mstar

Post a Comment