Friday, 1 May 2015

RESTORAN MAMAK PERTAMA DIKENAKAN TINDAKAN KESALAHAN GST


SHAH ALAM : Sebuah restoran di Seksyen 16 di sini menjadi yang pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 sejak GST dilaksanakan 1 April lepas.




Restoran Hameeds Corner diwakili pemiliknya, Raja Bunesh Bagam Kamarudeen, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan mengeluarkan kira-kira 2,000 keping invois cukai yang tidak mengandungi butiran ditetapkan mengikut Seksyen 22 Peraturan-Peraturan GST 2014.

Pihak restoran itu didakwa melakukan kesalahan di premisnya yang beralamat di No.3-1-1, Suria Avenue Apartment 16/2, Seksyen 16 di sini dari 7 April sehingga 11 April lepas.

Hameeds Corner didakwa mengikut Seksyen 33 (2) (b) Akta CBP 2014 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 96 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Hazril Harun mencadangkan ikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Cullin Andrew yang mewakili Hameeds Corner bagaimanapun berkata kes dihadapi anak guamnya ialah kes saman, oleh itu jaminan tidak perlu diberikan.

"Jika OKS (orang kena saman) tidak hadir hanya keluarkan waran tangkap.

"OKS juga telah kemuka bon RM15,000 kepada pihak Kastam Diraja Malaysia, jadi kami minta bon ini dijadikan sebagai jaminan," katanya.

Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Post a Comment