Sunday, 10 May 2015

PESURUHJAYA TINGGI MALAYSIA KE PAKISTAN CERITAKAN DETIK CEMAS SEMASA HELIKOPTER TERHEMPAS & MENGORBANKAN ISTERINYA

nahas-helikopter-pakistan

ISLAMABAD : Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan yang terselamat dalam nahas helikopter yang mengorbankan tujuh nyawa menggambarkan saat-saat menakutkan apabila pesawat yang dinaiki berada di luar kawalan sebelum terhempas ke tanah dan terbakar.


Bercakap dari katil di hospital tempat beliau dirawat, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar berkata penerbangan berjalan seperti yang dirancang sehinggalah mereka dijadual mendarat di destinasi iaitu di rantau Gilgit-Baltistan utara.

“Setelah tiba di lapangan terbang Gilgit semuanya berjalan dengan baik kecuali untuk beberapa minit terakhir, apabila helikopter terjunam berlingkar-lingkar, berpusing, berpusing dan terus berpusing dan terhempas di darat,” kata Hasrul Sani.

“Saya melihat juruterbang terbunuh, beberapa orang lain meninggal dunia serta-merta dan saya berada di tengah-tengah. Kemudian, beberapa orang berjaya melarikan diri tetapi kebakaran berlaku dengan teruk, asap memenuhi ruang helikopter dengan cepat,” katanya kepada AFP.

Isteri Hasrul Sani, Datin Habibah Mahmud, meninggal dunia dalam kemalangan di Naltar Valley pada Jumaat.

Testimoni diplomat dari Malaysia, Argentina dan Belanda di atas kapal telah didedahkan oleh Tentera Udara Pakistan (PAF) pada Sabtu untuk menyokong kenyataan kerajaan dan saksi bahawa bencana tersebut adalah kemalangan dan bukannya satu tindakan keganasan.

Helikopter itu adalah salah sebuah daripada tiga yang lain yang membawa delegasi duta untuk memeriksa projek dalam trip selama tiga hari ke rantau ini, di mana mereka telah bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Askar Taliban mendakwa telah menembak jatuh pesawat dengan peluru berpandu permukaan dengan harapan untuk membunuh Sharif.

“(Mengenai) ucapan dan khabar angin bahawa terdapat satu serangan pengganas atau sabotaj, saya boleh katakan bahawa ia 99.9 peratus tidak benar, ini adalah satu kemalangan yang menyedihkan, kemalangan yang sangat malang, disebabkan kerosakan teknikal pada kapal terbang,” kata Duta Argentina Rodolfo Martin Saravia kepada tentera udara.

Duta Besar Norway Leif H. Larsen dan Domingo D. Lucenario Jr dari Filipina juga telah terkorban bersama-sama dengan isteri kepada Duta Besar Indonesia, dua juruterbang helikopter dan seorang lagi anak kapal.

Duta Belanda Marcel de Vink berkata beliau amat bertuah kerana masih hidup selepas apa yang disaksikan.

Beliau digambarkan terbakar dan mengalami luka di kaki dan muka oleh Kementerian Luar.

“Saya masih ingat apabila kami berpusing-pusing, jadi saya berfikir untuk bersiap sedia menghadapi sedikit kesan dan selepas itu saya sebenarnya yang dalam dalam keadaan membuka mata, melihat asap dan letupan, jadi saya amat bertuah kerana ia berlaku dengan sangat cepat,” katanya.

Setiausaha Luar Pakistan Aizaz Ahmad Chaudhry pada sidang akhbar Jumaat berkata terdapat 19 orang di atas helikopter, di mana 12 telah diselamatkan, sambil menambah bahawa kotak hitam telah diambil.
Duta Indonesia terbakar 75 peratus dan berada dalam keadaan kritikal, kata Chaudry.

Perancangan sedang dijalankan untuk menghantar pulang mayat dan akan ditemani oleh pegawai-pegawai kerajaan, kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, Sabtu.

“Para menteri akan membawa mayat dalam penerbangan khas sebagai tanda penghormatan dan untuk menunjukkan kepentingan Pakistan (kepada) hubungannya dengan negara-negara ini,” kata kenyataan itu. – MSTAR ONLINE

Post a Comment