Wednesday, 13 May 2015

PASUKAN SAR #MH370 TEMUI BANGKAI KAPAL KARAM TIADA DALAM REKOD


SYDNEY : Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 mendedahkan menjumpai sebuah bangkai kapal karam yang tiada dalam rekod sebelum ini. 


Pasukan SAR yang diketuai oleh Australia itu menyatakan, bangkai kapal berkenaan tidak pernah direkodkan dalam senarai kapal karam dan penemuan itu diharap dapat memberikan harapan kepada kehilangan pesawat MH370. 

Sementara itu, satu laporan daripada Australian Transport Safety Bureau berjaya mengesan pantulan kecil di dasar laut sebelum menjalankan penyiasatan penuh dan mendalam. 

Data dari sonar pengimbas tinggi yang digunakan pasukan itu mendedahkan barangan itu yang sebesar bola kriket berada di kedalaman kira-kira 3,900 meter bawah air manakala keadaan sekeliling tidak menunjukkan bentuk dasar laut. Lantaran, mereka menghantar turun kamera sebelum menemui bangkai kapal. 

Pengarah Operasi SAR MH370, Peter Foley, berkata ia satu penemuan yang menakjubkan bagi pasukannya. 

"Namun ia bukanlah satu penemuan yang diharapkan. Ia bukan bangkai pesawat MH370. Nyata kami kecewa ia bukan pesawat yang dicari, tetapi kami sentiasa realistik mengenai segala kemungkinan,," katanya. Imej dari kamera menunjukkan dengan jelas sebuah sauh, bersama dengan objek lain. 

Foley berkata, penemuan itu menunjukkan sistem, peralatan dan pasukan yang terbabit dalam pencarian MH370 menjalankan tugas dengan baik. 

"Ia membuktikan jika terdapat satu bangkai kapal di kawasan pencarian, kami dapat mengesannya," katanya. 

Pencarian pesawat MH370 adalah satu pencarian yang kompleks dan pasukan SAR kini menumpukan pencarian di sebuah kawasan terpencil selatan Lautan Hindi merentangi 60,000 kilometer persegi. - AFP

Post a Comment