Tuesday 12 May 2015

IBRAHIM MAT ZIN HINA MUFTI PERAK ???

Minta siasat kenyataan raja bomoh

SABAK BERNAM – Pertubuhan Banjar Malaysia (PBM) Bubuhan Sungai Besar membuat satu laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin yang menghina Mufti Perak serta mempersoalkan kedudukan penempatan etnik Banjar di negeri itu.


Seramai empat ahli persatuan itu yang kecewa dengan kenyataan terbabit tampil membuat laporan polis kira-kira jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Sabtu lalu.

Pengerusinya, Jamaluddin Sulaiman berkata, pihak berkuasa diminta supaya menjalankan siasatan serius berhubung kenyataan terbabit dan menggesa agar raja bomoh itu menarik semula kenyataannya secara terbuka.

“Kenyataan yang dikeluarkannya ini sudah tentu boleh mencetuskan persengketaan etnik terutama di negeri Perak yang mempunyai ramai penduduk berasal dari keturunan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamaluddin berkata, tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang sengaja menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara dengan mewujudkan sentimen etnik yang hanya mengundang perbalahan dan  pergolakan dalam sesebuah masyarakat.

“Kita bimbang jika tiada tindakan tegas diambil, maka lebih ramai lagi pihak tidak bertanggungjawab akan terus-menerus memainkan sentimen etnik untuk memburuk-burukkan etnik tertentu sekali gus mengundang kepada persengketaan dan perbalahan antara etnik,” katanya.

Katanya, raja bomoh itu juga dianggap tidak memiliki ilmu pengetahuan yang luas terhadap sejarah negeri Perak yang mana kebanyakan kawasan di negeri itu dimonopoli dan didiami dalam kalangan keturunan etnik Banjar.

“Antara kawasan etnik Banjar seperti di Sungai Manik, Bagan Serai, Parit Buntar, Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Bukit Merah hingga terdapat kawasan yang dinamakan sebagai Kampung Banjar di Teluk Intan dan Jalan  Banjar di Bagan Serai,” ujarnya yang mengakui taburan penduduk itu mencakupi seluruh negara.

Katanya, pihaknya turut kesal tindakan raja bomoh itu yang memperkecil-kecilkan ketokohan yang ada pada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sebaliknya mempersoalkan perlantikan Ibrahim yang digelar sebagai raja bomoh.

“Janganlah mempersoalkan kenyataan yang dibuat mufti kerana ilmunya tinggi dalam hal ehwal agama, sebaliknya Ibrahim perlu tanya diri sendiri, adakah ilmu pengetahuan dia sudah cukup tinggi jika hendak dibandingkan dengan mufti?” katanya.

Sebuah portal online sebelum ini melaporkan, Ibrahim meluahkan perasaan marah dengan kenyataan Harussani yang mahu mewartakan amalan dan ajaran yang dibawa beliau sebagai haram dan sesat.

Ibrahim berkata, tuduhan tersebut melampau kerana tiada sebarang siasatan yang dilakukan terhadap dirinya terlebih dahulu.

No comments: