Thursday, 9 April 2015

LAYAK ATAU TIDAK HUDUD DILAKSANAKAN DI KELANTAN TERLETAK DI TANGAN AHLI PARLIMEN BUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN !


KOTA BHARU, 9 April - Mahkamah Persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Anggota Parlimen untuk memutuskan sama ada Kelantan layak ataupun tidak untuk melaksanakan undang-undang persendirian berkaitan Hudud.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata, Mahkamah Persekutuan tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan perkara berkenaan, namun akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada pihaknya dengan sebaik mungkin jika ia diluluskan.

"Kita ini mahkamah, orang buat undang-undang kita laksanakan. Kalau (undang-undang itu) ikut Perlembagaan, sesuai dengan Perlembagaan, kita akan ikut. Kita mahkamah. Yang lain tu polisi. Keputusan akan dibuat oleh badan perundangan.

"Badan perundangan, eksekutif, badan kehakiman kita asingkan betul-betul," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Sistem e-Kehakiman di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Datuk Seri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Baharu Datuk Azman Abdullah.

Arifin berkata tiada pertindihan undang-undang akan berlaku melibatkan kuasa Mahkamah Syariah yang tertakluk kepada negeri dengan Mahkamah Persekutuan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong jika undang-undang berkenaan dilaksanakan.

"Katalah Hudud tu tak dipanggil Hudud, pergi ke Parlimen (Dewan Rakyat dan diluluskan) jadi undang-undang. Tak ada label Hudud pun dia boleh jadi undang- undang (juga). Macam (kes) dadah, apa undang-undang dia? Apa premis dia? tak ada.

"Yang jadi isu sebab dipanggil Hudud sahaja. Kalau nak kira, kalau nak buat (undang-undang berkaitan Hudud tapi) tak ada (perkataan) Hudud pun tak apa," katanya.

Pada 18 Mac lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga anggota Parlimen Marang mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat bagi membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan Hudud.

Rang undang-undang itu adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau Hudud pada 19 Mac.

Post a Comment