Friday, 3 April 2015

KARTUNIS ZUNAR TIDAK MENGAKU SALAH 9 PERTUDUHAN MENGHASUT


KUALA LUMPUR 3 April - Kartunis, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar hari ini mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menghasut di laman Twitternya berhubung keputusan rayuan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, beliau memohon untuk dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Zainol Rashid Hussain

Mahkamah turut membenarkan Zunar diikat jamin RM2,500 setiap bagi pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan RM22,500 serta menetapkan sebutan semula kes pada 20 Mei ini.

Bagaimanapun jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara 43 tahun.

Pada 11 Februari lalu, Zunar, 52, telah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitter, telah mengarahkan pihak polis menyiasat kartunis itu kerana memuatnaik tweet yang dikatakan berbaur hasutan.

Anwar, 67, telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam itu. - rakyatnews

Post a Comment