Tuesday 31 March 2015

SULTAN PERAK MURKA ADUN PEMBANGKANG BERPAKAIAN SERBA HITAM DI ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI DUN PERAK ???


IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya ditiadakan sesi santapan dan bergambar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).



Titah itu dipercayai akibat tindakan wakil pembangkang tidak menghormati baginda dan istiadat perasmian pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau percaya titah baginda itu ada kaitan dengan tindakan wakil pembangkang yang tidak memakai pakaian istiadat, sebaliknya berpakaian serba hitam.
Beliau berkata, baginda yang berangkat ke DUN bukan sahaja pertama kali merasmikan pembukaan sidang DUN sebagai Sultan Perak, malah mengenakan pakaian istiadatnya yang lengkap selepas dimahsyurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada Mei tahun lalu.
Katanya, justeru tindakan pembangkang itu jelas satu tindakan biadap, tidak bertamadun serta menunjukkan wajah hodoh pembangkang yang beliau percaya memang dirancang.
"Apa sahaja alasan yang mereka berikan kita tidak boleh terima kerana ini soal hormat kepada sultan.
"Hari ini majlis istiadat pembukaan DUN tapi mereka pakai serba hitam, warna hitam ini lambang kematian, kesedihan dan kegelapan, jadi saya amat kecewa dan pembangkang tidak sepatutnya berbuat begini," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas keberangkatan pulang Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ditanya sama ada Sultan Perak murka, Zambry berkata beliau tidak boleh bercakap bagi pihak baginda, namun mengakui perbuatan itu mengejutkan baginda.
Sementara itu, Speaker DUN Perak, Datuk Seri S K Devamany turut kecewa dengan sikap wakil pembangkang.
Katanya, sesi perasmian pembukaan hari ini dirakam pihak FINAS kerana ia istiadat bersejarah.
Ketika menghadiri istiadat itu, wakil pembangkang tidak memakai pakaian istiadat putih, sebaliknya memakai sut atau baju Melayu serba hitam. Malah, wakil pembangkang yang bukan Islam tidak memakai songkok. - BeritaHarian

1 comment:

IBU RISKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.