Thursday 26 March 2015

RASUAH : LAMBORGHINI PEGAWAI TLDM DIRAMPAS, RM23 JUTA DIBEKUKAN

RM23 juta dibekukan, Lamborghini antara dirampas dalam kes rasuah pegawai TLDM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan wang simpanan sebanyak RM23 juta, merampas kereta mewah, antaranya Lamborghini dan sejumlah jam tangan mewah termasuk Louis Vuitton berikutan penahanan 16 individu dalam kes pembekalan barangan dan peralatan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah, semua individu itu sudah dibebaskan selepas direman antara tujuh hingga 10 hari.
“Wang dalam simpanan itu termasuklah saham lebih RM5 juta, wang tunai lebih RM200,000 dan wang simpanan daripada 240 akaun bank.
“Selain itu, sebanyak 13 kereta mewah, antaranya Lamborghini, BMW, Mercedes-Benz dan Audi serta jam tangan mewah seperti Louis Vuitton, Patek Philippe, Tag Heuer dan Frederique Constant turut dirampas,”katanya.
Menurutnya, daripada 16 yang ditahan, enam daripadanya adalah pegawai dan anggota TLDM terdiri daripada Pegawai Pemerintah, Leftenan Komander, Leftenan Tentera Laut dan Laskar Kanan, manakala selebihnya adalah orang awam yang juga ahli perniagaan dan orang tengah.
Mereka ditahan pada 9 dan 11 Mac lalu di Kuala Lumpur, Manjung, Ipoh dan Lumut dan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mohd Jamidan berkata, siasatan kes berkenaan masih diteruskan. - Metro

1 comment:

IBU RISKA said...
This comment has been removed by a blog administrator.