Sunday, 1 March 2015

BERSALAH BUNUH PELAJAR BERUMUR 7 TAHUN, GURU AGAMA DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI

guru

ALOR SETAR: Seorang guru agama dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Ahad selepas didapati bersalah membunuh seorang pelajarnya empat tahun lepas.


Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi Hanif Mohd Ali,31, pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata tertuduh didapati telah menyebabkan tekanan pada leher mangsa sehingga menyebabkan oksigen tidak dapat dibekalkan ke otak mangsa dan menyebabkan kecederaan terhadap organ mangsa.

Sewaktu kejadian, hanya tertuduh berada bersama-sama dengan mangsa yang pada masa kejadian hanya berumur tujuh tahun, katanya.

PELAJAR MATI

Perbuatan dilakukan itu boleh menyebabkan kematian dan pihak pendakwa raya berjaya membuktikan perbuatan tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati bagi sabitan membunuh, katanya.

Hanif, yang juga warden asrama di Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis dijatuhi hukuman penjara 18 tahun pada Mac 2012 selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian Saiful Syazani Saiful Sopfidee pada 2011.

Mengikut pertuduhan asal, Hanif dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian ketika mahkamah memberikan keputusan pada akhir kes pendakwaan pada Mac 2012.

Namun pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan pertuduhan asal terhadap tertuduh.

Terdahulu, peguam Mohd Shakir Khairi yang mewakili Hanif memohon agar mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan memandangkan anak guamnya merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pengajaran serta pembelajaran Al-Quran.

Katanya tertuduh yang merupakan anak kedua daripada empat beradik juga perlu menjaga ibu dan bapanya yang telah lanjut usia.

Mengikut fakta kes, hasil bedah siasat menunjukkan sebab kematian mangsa adalah kerana hipoksia berikutan tekanan pada leher, selain terdapat pelbagai kesan kecederaan ditemukan pada badan mangsa.

Tertuduh yang ketika itu berusia 27 tahun juga telah memukul mangsa dengan menggunakan tangan dan bertindak menampar serta menolak dada mangsa.

Hanif yang memakai kemeja-T putih, berseluar kelabu serta berkopiah dilihat melambaikan tangan sambil tersenyum kepada anggota keluarganya selepas hukuman dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad.

- mStar.

Post a Comment