Saturday 7 February 2015

ISU BOIKOT HARGA BARANG : DSIS SEDIA BERI KETERANGAN KEPADA POLIS MINGGU DEPAN



KUALA LUMPUR 7 Feb - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kesediaan memberi keterangan kepada polis minggu depan berhubung isu kenyataannya mahukan pengguna memboikot peniaga yang enggan menurunkan harga barangan.

Bagaimanapun, tarikhnya belum ditetapkan lagi.

"Saya sudah bagi tahu kepada polis, selepas kunjungan Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) saya ada waktu. Mungkin minggu depan lapang lah sikit...hari apa saya tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Turun Harga Pasar Tani di sini, hari ini.

Isnin lepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan dalam akaun twitternya bahawa polis akan memanggil Ismail Sabri untuk mengambil keterangan berhubung isu itu.

Sebelum ini, status yang dimuat naik Ismail Sabri di laman Facebooknya pada 1 Februari yang menggesa pengguna untuk menggunakan kuasa, memboikot perniagaan yang dijalankan secara tamak yang enggan menurunkan harga barangan walaupun harga bahan api sudah turun, telah mencetuskan reaksi kurang senang pihak tertentu.

Bagaimanapun, menteri itu tampil membuat penjelasan bahawa tujuan kenyataan itu dibuat untuk meminta rakyat menggunakan kuasa dan hak mereka sebagai pengguna menekan peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan dan tidak ditujukan kepada kaum tertentu.

No comments: