Saturday 1 November 2014

UMNO SATUKAN SEPUPU TIDAK BERTEGUR SAPA 32 TAHUN IDEOLOGI POLITIK BERTENTANGAN


BESUT : Dua keluarga daripada dua beradik sepupu di Kampung Gong Penaga dekat Kuala Besut di sini yang terpisah dan tidak bertegur sapa sejak 32 tahun lalu disebabkan perbezaan ideologi politik, dipertemukan semula melalui Program Kasih Bertaut anjuran Umno Bahagian Besut pada Jumaat malam.

Tuan Mohd Yusof Tuan Long Soh, 61, dan Tuan Hussin Raja Ismail, 52, dipertemukan dalam majlis yang turut dihadiri Anggota Parlimen Besut yang juga Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Umno Bahagian Besut Nawi Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Perpisahan yang memakan masa begitu lama itu disebabkan terpengaruh dengan ideologi politik sempit hingga masing-masing yang mempunyai keluarga besar tidak bertegur sapa walaupun kedudukan rumah hanya 150 meter antara satu sama lain.

Melalui usaha Tengku Zaihan dan seorang bekas aktivis PAS, Raja Ayub Raja Kechik, 62, kedua-dua sepupu itu berjaya disatukan semula selepas perjumpaan diadakan sekian lama bagi memberi kefahaman kepada mereka berdua.

Nawi dalam ucapannya pada majlis itu berkata langkah kedua-dua sepupu itu patut dicontohi kerana ia bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat kerana ia diibaratkan sebagai nadi kepada transformasi negara.

Katanya agama Islam menolak perpecahan malah menganjurkan supaya umat sentiasa bersatu dan berpadu setiap masa demi menjaga keutuhan umat Islam di muka dunia ini.

"Mungkin terdapat ramai lagi mereka yang telah berpisah angkara perbezaan ideologi politik, yang patut diselesaikan supaya mereka dapat kembali bersatu semula demi agama, bangsa dan negara," kata Nawi.

Menurutnya Umno Bahagian Besut akan meneruskan Program Kasih Bertaut ini dalam merapatkan mereka yang terpisah akibat ideologi politik agar rakyat terus bersatu bukan sahaja di peringkat negeri dan kampung malah yang utamanya di kalangan keluarga.

Sementara itu, Tuan Mohd Yusof berkata beliau tergerak hati untuk kembali mengeratkan silaturahim dengan adik sepupunya yang terpisah sekian lama ekoran perjumpaan demi perjumpaan dengan Tengku Zaihan dan Raja Ayub sebelum ini.

"Setelah berbincang dan menerima penerangan akhirnya saya menyedari bahawa tindakan kami berdua memisahkan diri bukan sahaja salah di sisi keluarga malah yang lebih besar dari segi agama.

"Hasutan yang datang daripada kegiatan berpolitik amat berbahaya sekiranya kita tidak berfikir panjang kerana ia boleh menyebabkan kita hilang keluarga dan segala-galanya," katanya.

Kira-kira 500 penduduk Kampung Penaga dan para pemimpin Umno hadir di majlis itu sambil menikmati jamuan gulai kawah lembu yang disediakan di rumah Tuan Mohd Yusof. 

No comments: