Monday 13 October 2014

TUTUP PINTU SEDIKIT KUAT, TOK SIAK PARAH DIBELASAH DALAM MASJID



GEORGETOWN - Hanya kerana menutup pintu masjid sedikit kuat, seorang tok siak patah tulang rusuk selepas dibelasah seorang lelaki di sebuah masjid di Jalan Persiaran Gurney di sini, Selasa lalu.


Pada kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 60 tahun itu ditendang beberapa kali oleh lelaki berkenaan yang memakai kasut keselamatan selain dihembur dengan kata-kata kesat.

Menurut sumber, kejadian berpunca apabila lelaki berusia 30-an itu yang sedang berbaring dalam masjid di Lorong Burma berkenaan terkejut kerana tok siak terbabit menutup pintu masjid itu agak kuat.

“Akibat kejadian itu, tok siak berkenaan mengalami lebam di muka dan tulang rusuk sebelah kirinya dipercayai patah.

“Mangsa juga sempat bertanya kepada lelaki itu mengapa dia bertindak demikian. Lelaki itu kemudian mempersoalkan mengapa tok siak menutup pintu masjid dengan kuat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

“Siasatan awal mendapatinya lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah dan kini direman dua hari untuk bantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.