Monday 13 October 2014

CADANGAN HAPUSKAN SJKC BUKAN HASUTAN


Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad menegaskan bahawa cadangan pemansuhan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) untuk dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang tidak mempunyai sebarang unsur hasutan kerana sekolah tersebut dilihat menjadi medium pembangkang dalam menabur sentimen perkauman dan antikerajaan.

Dalam pada itu, beliau memohon agar Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker tidak berkeras membuat laporan polis mengenai isu tersebut tetapi seharusnya mencari jalan keluar kepada polemik politik kotor yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang terutamanya kepada generasi muda.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohamad Azli:

1. Kenyataan saya tidak berunsur hasutan dan saya tidak menyalahkan Lian Ker kerana kurang memahami Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa Cina diiktiraf sebagai bahasa ibunda sahaja tetapi bukan bahasa untuk semua mata pelajaran seperti Geografi, Sejarah, Sains dan Matematik. Oleh itu, bahasa Cina boleh diiktiraf sebagai mata pelajaran mengikut sistem pendidikan negara.

2. Lian Ker tidak seharusnya membazir masa polis apabila beliau membuat laporan terhadap kenyataan saya. Polis juga hairan apabila beliau membuat laporan dan mereka berasa kasihan terhadap keterbatasan pengadu. Lian ker dan rakan-rakannya sepatutnya memikirkan penyelesaian politik, bukan laporan polis.

3. Pakatan pembangkang telah menyalahgunakan SJKC sebagai platform politik untuk meracuni minda generasi muda membenci kerajaan dengan banyak melakukan pelbagai pembohongan, apatah lagi minda mereka terlalu muda untuk berfikir secara matang dan membezakan perkara yang dusta atau benar. Tindakan kotor seperti ini adalah bersifat tidak adil, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dengan membawa agenda politik ke dalam bilik darjah.

4. Lian Ker dan kawan-kawannya seharusnya memikirkan cara berhadapan dengan tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab daripada pakatan pembangkang. Jika tiada tindakan pantas yang diambil, maka pemansuhan SJKC dilihat jalan terbaik. Tindakan penyalahgunaan sekolah sebagai medium menyebarkan agenda palsu mereka harus dihentikan dan mereka perlu dihukum. Bahasa ibunda masih boleh diajar sebagai subjek di semua sekolah kerajaan. Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa kenyataan saya tidak berunsur menghasut. - HaryatiAzlin/Utaranews