Wednesday 1 October 2014

RASUAH RM300 JUTA : SPRM TAHAN KETUA UMNO BAHAGIAN PENSIANGAN


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang ahli politik dari Sabah berhubung dakwaan rasuah melibatkan bayaran pampasan terhadap pemilik tanah di negeri tersebut.


Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, ahli politik itu ditahan pada Jumaat lalu selepas tiba di ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan.

Ini bertentangan dengan laporan terdahulu yang memberitahu bahawa ahli politik itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

“Kami masih melakukan siasatan terhadap individu tersebut dibawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan dia terlibat menerima rasuah membabitkan bayaran pampasan terhadap pemilik tanah di negeri itu.

“Sebaik sahaja kenyataannya direkodkan, individu tersebut dibebaskan,” kata Jamidan dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, sebuah akhbar di Sabah melaporkan seorang pemimpin Umno Sabah ditahan berkaitan dakwaan Pecah Amanah (CBT) membabitkan wang sebanyak RM300 juta.

Menurut akhbar tersebut, ahli politik berkenaan adalah bekas Timbalan Pengerusi di sebuah agensi kerajaan dan salah seorang daripada 25 ketua bahagian Umno di negeri itu.

BERIKUT LAPORAN SEBELUMNYA : 
Ketua Umno Bahagian Di Sabah Ditahan SPRM 
Seorang pemimpin Umno bahagian di Sabah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan ke atas dakwaan pecah amanah (CBT) melibatkan perlanggaran wang RM300 juta.
SPRM masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.
Walau bagaimanapun, sumber suruhanjaya ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan masih diteruskan dan butir-butir akan didedahkan dalam satu kenyataan kemudian.
Pada hari Selasa, sebuah akhbar Sabah melaporkan bahawa pemimpin bahagian itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lepas.
Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi sebuah agensi negeri dan mengetuai salah satu daripada 25 Umno bahagian di Sabah.
Dalam posting Facebook, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Kamis Idris mempersoalkan keputusan menahan ketua bahagian itu dan berkata ia boleh didorong oleh ‘dendam politik’.
KETUA UMNO BAHAGIAN PENSIANGAN MENGAKU INDIVIDU YANG DITAHAN SPRM ADALAH DIRINYA :

Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Sabah, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin mengaku beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas untuk memberi keterangan berhubung satu kes.

Namun beliau, yang kini berada di Kota Kinabalu, Sabah ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai kes itu dan atas sebab apa beliau dipanggil memberi keterangan.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada SPRM pada pagi Rabu lepas, namun ketika itu saya sedang berada di Kuala Lumpur bersama anak saya. Dan saya mendapat satu lagi panggilan telefon pada petang hari yang sama bertanyakan bila saya boleh hadir.

“Dan pada hari Jumaat, saya secara sukarela pergi berjumpa dengan mereka (pegawai SPRM) di Kota Kinabalu (untuk memberi keterangan),” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Pada Selasa, Daily Express di Sabah melaporkan seorang Ketua UMNO bahagian di negeri itu ditangkap SPRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lepas berhubung kes pecah amanah (CBT) melibatkan wang berjumlah RM300 juta.

Namun Abdul Ghani menafikan beliau ditangkap, sebaliknya beliau menekankan bahawa keterangan diberi secara sukarela dan kerjasama penuh diberikan kepada pegawai SPRM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes ini masih di peringkat awal, dan meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi liar kerana dikhuatiri mengganggu kelancaran siasatan. 

***Fuyooooo...!!! RM300 juta !!! Admin mati hidup balik 7 kali pun rasanya tak mungkin akan perolehi wang sejumlah itu!!!