Wednesday 8 October 2014

ERMA FATIMA TERIMA UJIAN HIDUP BERMADU DENGAN KEIKHLASAN

ERMA bersama madunya, Aida Abdul ketika beraya di rumah mentua mereka. - Foto ihsan Erma Fatima

KUALA LUMPUR : Tindakan Erma Fatima memuat naik gambar beliau beraya bersama madunya, Aida Abdul di kediaman keluarga mentuanya membuktikan bahawa sutradara itu menerima dengan hati terbuka suratan suaminya, Bade Azmi berkahwin lain.

Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi kononnya Erma tidak merestui perkahwinan kedua suaminya, sekali gus tidak rela bermadu.
Malah lebih buruk lagi apabila bertebaran cerita bahawa rumah tangga Erma dan Bade ibarat telur di hujung tanduk.
Bagaimanapun, semua spekulasi itu lenyap apabila gambar yang dimuat naik Erma di laman Instagram itu turut dipuji ramai pengikutnya.
Ramai yang menyifatkan Erma sebagai wanita yang cekal kerana perlu menjalani hidup bermadu.
"Tiada sebab untuk saya bermusuh dengan dia (Aida). Hidup di dunia ini pun sementara saja. Saya berkahwin dengan suami sudah 24 tahun. Andai dia pilih untuk kahwin lain, maknanya dia inginkan kebahagiaan. Saya pun nak tengok dia bahagia.
"Kalau cara itu (berkahwin lain) yang mampu saya buat untuk membahagiakan dia, saya reda. Poligami ini mungkin juga satu tugasan dari Tuhan untuk ajar saya jadi ikhlas. Dan ternyata saya sedang melalui ujian itu," kata Erma.
Menurut Erma, beliau enggan mengambil pusing apa persepsi orang di luar mengenainya.
"Saya tak peduli. Tiada cinta yang kekal pun di dunia ini. Kenapa saya perlu berperang dan bermusuh hanya untuk berebut cinta.
"Bagi saya, cinta yang agung ialah cinta yang tak kesampaian. Namun kita tetap bertahan meneruskan kehidupan.
"Lihat saja contoh, cerita Romeo dan Juliet, Laila Majnun atau Uda dan Dara. Semua cinta yang dipapar hancur di tengah jalan. Tapi itu juga cerita cinta agung yang dibanggakan seluruh pelusuk dunia.
"Mungkin saya boleh dapat apa saja yang dimahukan di dunia ini tapi bukan cinta," katanya.
Mengenai Aida, Erma menyifatkan madunya itu seorang yang baik.
"Kami berdua dalam proses kenal mengenal. Dia cuba menyesuaikan diri dengan keluarga yang baru. Ia bukan perkara mudah dan dia sanggup lakukannya. Itu juga bererti dia benar-benar cintakan suami saya.
"Dalam erti kata lain, hidup bermadu ini ujian hebat buat saya dan dia. Saya sendiri tidak kejar bahagia tapi nak sangat mencari erti sebenar keikhlasan.
"Saya mahu ikhlas menerima dia sebagai adik demi kebahagiaan mereka," katanya. - Oleh Zaidi Mohamad (zaidim@bh.com.my)