Friday 26 September 2014

PELAJAR DIPLOMA SAINS SUKAN MAUT DIREMPUH KERETA PENSYARAH, UITM TAK AMBIL PEDULI ???


“Sehingga kini, tiada panggilan telefon bertanyakan khabar mahupun meminta maaf terhadap apa yang berlaku dari pihak terbabit,” kata ibu kepada Fatin Farah Faradia Yusuf, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang maut dirempuh kereta pensyarah dalam kejadian 18 September lalu.


Nortipah Khalid, 42, berkata setelah seminggu kejadian berlaku, beliau terkilan dan sedih dengan sikap pihak tersebut yang seolah-olah berdiam diri dan tidak menghubunginya.

“Saya tahu yang pergi tetap pergi, namun sekurang-kurangnya hubungi saya dan meminta maaf. Dia juga mungkin mempunyai anak. Itu yang membuatkan saya sedih,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM melalui Tabung Kecemasan Pelajar, di Kolej Kediaman Mawar, semalam.

Menurutnya, dia masih terkejut tetapi pasrah menerima takdir bahawa anak sulung daripada tiga beradik itu sudah tiada.

“Kali terakhir saya bertemu Fatin, ketika arwah pulang bercuti Aidilfitri. Tiada sebarang perubahan dan saya baru bercakap melalui telefon seminggu sebelum itu,” ujarnya.

Fatin, maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah universiti berkenaan di dalam kawasan kampus. Mangsa dilanggar ketika berjalan bersama rakannya di kawasan Fakuti Komunikasi dan Pengajian Media.

Penuntut tahun kedua Diploma Sains Sukan dan Rekreasi itu meninggal dunia kira-kira 7.30 petang, hari sama di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akibat pendarahan dalaman. 


Difahamkan kedatangan Nortipah dan keluarga dari Dungun, Terengganu itu bagi mengambil barangan milik arwah Fatin yang menginap di Kolej Kediaman Mawar.

Terdahulu, satu majlis ringkas bacaan doa diadakan, yang turut dihadiri pensyarah dan rakan -rakan arwah Fatin, dari Fakulti Sains Sukan UiTM. Pada majlis itu, Dekan Fakulti Sains Sukan UiTM, Prof Madya Dr Mohd Hanapiah Abidin menyerahkan sumbangan RM7,000 dari HEP UiTM kepada Nortipah.

Selain itu, Nortipah turut menerima sumbangan wang tunai hasil kutipan dari fakulti dan Kolej Kediaman Mawar.

Kejadian yang berlaku 18 September lalu mengorbankan Fatin Farah Faradia Yusuf di UiTM Shah Alam.

Sementara itu, Pensyarah yang mengajar arwah Fatin,  Muhammad Wafi A Rahman, 30 berkata, Fatin yang digelar ‘Dhia’ merupakan pelajar yang rajin dan disenangi rakan sekelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Inspektor Mohamad Hafiz berkata, dua individu termasuk pemandu kenderaan yang merempuh pelajar berkenaan telah memberi kenyataan berhubung kejadian itu.

“Polis akan memanggil beberapa lagi saksi dalam waktu terdekat,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - SINAR HARIAN