Saturday 27 September 2014

PAS KATA DAP IKUT CARA PAP.... TAPI PAS MASIH TETAP NAK KAWAN JUGA..!!!

Photo

SHAH ALAM, 27 Sept – Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan membidas kerajaan DAP Pulau Pinang bersabit tindakannya ‘mengeluarkan’ Bendahari PAS, Iszuree Ibrahim daripada jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).


Menerusi satu kenyataan, Nasrudin berkata, tindakan tersebut yang dipercayai dibuat ekoran teguran Iszuree kepada kerajaan negeri berhubung polisi setinggan, adalah sangat tidak wajar sama sekali.
Ini kerana kata Nasrudin, Iszuree hanya memberi  teguran yang membina, malah pemimpin PAS itu juga menggunakan medium yang betul untuk menyampaikan tegurannya agar isu itu diambil perhatian oleh PAS Pusat.
“Saudara Iszuree bukanlah memfitnah apatah lagi mengkhianati kerajaan sebaliknya beliau menggunakan forum muktamar tahunan PAS bagi membangkit isu ini agar ia menjadi perhatian PAS Pusat.
“Di mana secara kebetulannya pesuruhjaya PAS Pulau Pinang ialah timbalan presiden PAS.
“Malangnya belum sempat PAS Pusat mengambil apa-apa langkah wajar, saudara Iszuree telah dimangsakan,”katanya.
Kata Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, tindakan kerajaan Pulau Pinang itu ibarat kerajaan PAP Singapura yang mendiamkan pengkritik mereka dengan mengenakan tindakan undang-undang.
“Malangnya tindak balas dari Kerajaan Pulau Pinang sangat drastik. Saudara Iszuree ‘dipancung’ gara-gara kritikan yang membina itu.
“Seperti tersimpan satu dendam yang hanya menanti detik untuk dilunaskan. Akhirnya Iszuree terpaksa membayar harga yang tidak sedikit.
“Saya kira ia sebagai satu langkah untuk menakut dan menggerunkan pihak yang mahu menegur dan mengkritik,” ujarnya lagi.
Nasrudin dalam pada itu menggesa PAS Pusat untuk campur tangan dalam isu tersebut bagi membela Iszuree.
“Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pastinya boleh berperanan untuk menangani isu berbangkit dan berkait kepentingan ummat Islam khasnya tindakan kerajaan Pulau Pinang ke atas bendahari PAS negeri.
“Sewajarnya Pas Pulau Pinang mengambil tindakan yang bertanggungjawab bagi membela saudara Iszuree yang telah dizalimi oleh DAP,”katanya lagi.