Monday 25 August 2014

DAKWAAN FITNAH NAJIB : NIZAR DIWAKILI 11 PEGUAM

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa menfitnah  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Taman Desa Pakatan antara jam 9 malam hingga tengah malam pada 23 April, 2012. – Gambar fail, 25 Ogos, 2014.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini didakwa di Mahkamah Seksyen Ipoh atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012.


Beliau telah didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Walaubagaimanapun, beliau  mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perak  telah didakwa memfitnah Perdana Menteri dalam ceramah bertarikh 23 April 2012 antara jam 9 malam hingga 12 malam di Taman Desa Pakatan, dekat Ipoh.

Beliau didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.

Dalam ceramahnya itu, Nizar didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah iaitu menyatakan tohmahan dengan mengetahui bahawa perbuatan itu akan merosakkan nama baik pemimpin nombor satu negara itu.

Nizar dalam kenyataan ceramah telah menyebut, “saya juga dikhabarkan Najib baru-baru ini panggil pimpinan-pimpinan angkatan tentera, semua pegawai kanan daripada darat ke laut dan udaranya.

“Najib bertanyakan pada mereka seandainya Barisan Nasional tumbang, maka buatlah sesuatu,”.

Beliau juga didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan menyatakan, “saudara-saudara apa kata ketua-ketua angkatan tentera mereka juga terbuka, mereka belajar berkenaan apa yang berlaku di Timur Tengah, maka mereka beritahu Najib, kami akan menyebelahi rakyat, itu jawapan tentera.

“Maknanya kalau rakyat menolak Barisan Nasional memilih Pakatan Rakyat ke Putrajaya, maka tentera-tentera akan bersama dengan rakyat menyebabkan Najib menjadi pucat lesi sepucat-pucatnya.

“Najib ingat tentera boleh dimain,” demikian ucapan Nizar dalam ceramah pada malam itu lagi.

Mahkamah telah menetapkan dan mengarahkan Nizar untuk membayar wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Hakim juga telah menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohammad Nizar diwakili 11 peguam iaitu Asmuni, Aminuddin Zulkipli, Mohd Fitri Asmuni, M. Kulasegaran, Nga Hock Cheh, N. Selvam, A. Sivanesan, Mohammad Hanifa Maidin, Leong Cheok Keng, Mohammad Zamri Ibrahim dan Chan Sook Ching.

Pihak pendakwaan hanya diwakili Masri yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

No comments: