Wednesday 2 July 2014

WAJAH DIPLOMAT MALAYSIA DALAM SERANGAN SEKSUAL DI NEW ZEALAND DIDEDAHKAN....

Muhammad Rizalman Ismail
PUTRAJAYA : Kementerian Luar akan mengetepikan kekebalan diplomatik untuk Muhammad Rizalman Ismail sekiranya New Zealand tidak menawarkan alternatif dalam menguruskan kesnya.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, semasa perbincangan berhubung kes berkenaan pada 12 Mei, New Zealand telah menawarkan alternatif kepada tertuduh untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Kita tidak pernah berniat untuk mengambil ringan terhadap perkara ini. Kementerian Luar telah mengetepikan kekebalan diplomatik tertuduh bagi membolehkan pendakwaan diadakan di New Zealand.

“Mereka yang terlibat dalam perbincangan itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, timbalan ketua protokol Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (New Zealand) dan pegawai-pegawai dari polis New Zealand.

“Dengan persetujuan di pihak New Zealand, tertuduh dan keluarganya kembali ke Malaysia pada 22 Mei, ditemani oleh pegawai Mindef (Kementerian Pertahanan) berpangkat tinggi,” katanya pada sidang media di Wisma Putra di sini, Selasa.

Anifah berkata, Kementerian Luar tidak berhasrat untuk menggunakan kekebalan diplomatik bagi menyelamatkan tertuduh.

“Kita membawanya pulang kerana kita merasakan dia tidak akan mendapat keadilan dalam perbicaraannya atau nyawanya dalam bahaya. Tetapi kita tidak berasa sangsi terhadap negara-negara seperti New Zealand kerana negara kita mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengannya.

“Tetapi kita ditawarkan satu alternatif, maka kita fikir adalah terbaik untuk mengambil tawaran itu dengan membawanya pulang tetapi satu siasatan akan dijalankan dengan kerjasama penuh daripada pihak berkuasa New Zealand,” tambahnya.

Muhammad Rizalman, 38, merupakan pegawai berpangkat Waran ll di Kementerian Pertahanan, telah dihantar untuk bertugas dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sejak tahun lalu.

Dia ditahan pada 9 Mei lalu dan dibawa ke mahkamah pada hari berikutnya untuk didakwa kerana cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Dia dikatakan mengikut wanita berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Brooklyn pada malam 9 Mei lalu.

Muhammad Rizalman sepatutnya dijadualkan untuk hadir ke mahkamah pada 30 Mei lalu bagi memberi keterangan untuk menjawab dakwaannya.

Anifah berkata, Mindef telah menyediakan satu Lembaga Siasatan (BOI) untuk menyiasat kes tersebut secara menyeluruh.

Beliau berkata, Wisma Putra tanpa ragu-ragu untuk menghantar semula tertuduh ke New Zealand sekiranya terdapat keperluan dan sekiranya terdapat permintaan daripada negara itu bagi ekstradisi terhadap tertuduh.

“Tetapi kita yakin dengan Mindef dan lembaga akan berhubung dengan pihak berkuasa New Zealand untuk mendapatkan bukti.

“Apa yang penting adalah dia mesti disiasat secara menyeluruh dan diberikan pendengaran yang adil. Jika dia didapati bersalah, hukuman perlu dikenakan dengan setimpalnya,” katanya.

Anifah berkata, Kerajaan mengakui bahawa insiden itu merupakan satu perkara yang serius dan tidak mempunyai sebarang niat untuk menyembunyikan masalah itu.

Beliau berkata, tertuduh telah dirujuk kepada seorang pakar psikiatri untuk pemerhatian di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi memeriksa keadaan emosi dan mentalnya.

Anifah turut berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan New Zealand tidak akan terjejas ekoran insiden yang berlaku.

No comments: