Friday 11 July 2014

CIMB, RHB DAN MBSB AKAN BERGABUNG UNTUK UJUDKAN BANK ISLAM MEGA


KUALA LUMPUR, 11 Julai - CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) telah menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan perbincangan bagi penggabungan serta membentuk sebuah bank Islam mega.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga pihak itu berkata perbincangan itu bagi menggabungkan perniagaan RHB Capital dan CIMB di samping membentuk sebuah francais perbankan Islam lebih besar melalui MBSB.

Berikutan ini, ketiga-tiga pihak itu bersetuju agar jangka masa 90 hari diberikan khusus untuk berunding dan memuktamadkan harga, struktur dan syarat serta terma berkaitan yang perlu bagi cadangan penggabungan dan pembentukan sebuah bank Islam yang besar, kata kenyataan itu.

Saham-saham CIMB Group, RHB Capital dan MBSB akan menyambung semula dagangan di Bursa Malaysia pada 11 Julai, 2014.

"Terdapat kes prima facie untuk penggabungan mewujudkan nilai antara ketiga-tiga entiti ini dan kami mahu terus berunding secara terperinci untuk mengesahkannya," kata Datuk Seri Nazir Razak, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group.

Pengarah Urusan RHB Capital, Kellee Kam berkata bank itu yakin wujud nilai dan akan terdapat banyak peluang berikutan penggabungan itu.

Mengenai prospek pembentukan sebuah bank Islam mega, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Ahmad Zaini Othman berkata: "Peluang menjadi sebahagian daripada sebuah bank Islam mega amat mengujakan kami dan kami mahu ia diteruskan."

Affin Investment Bank Research berkata jika berlaku penggabungan dan pengambilalihan, ia akan membuka jalan bagi pembentukan kumpulan perbankan terbesar di Malaysia, dengan gabungan saiz aset sebanyak RM613.7 bilion, melebihi saiz Maybank dengan aset RM578 bilion pada Mac 2014.

"Kemungkinan penggabungan ketiga-tiga entiti ini mungkin disebabkan oleh keperluan untuk memperkukuh bahagian pasaran memandangkan persaingan sengit dalam persekitaran perbankan domestik yang tepu," katanya dalam satu nota hari ini.

No comments: