Tuesday 1 July 2014

BERGADUH DI BAZAAR RAMADHAN, MANGSA DITETAK DENGAN PEDANG

Hiasan
BESUT – Seorang lelaki cedera parah di muka selepas ditetak rakannya yang bersenjatakan pedang dalam kejadian di bazar Ramadan dekat Pekan Jabi, di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang berusia 34 tahun itu diserang suspek selepas dikatakan tercetus pergaduhan antara mereka sebelum itu sekitar jam 6 petang kelmarin.
Difahamkan, pada awalnya telah tercetus pergelutan antara mangsa dengan suspek di kawasan bazar Ramadan itu selepas berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
Menurut sumber, suspek yang belum berpuas hati dikatakan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Dasar tidak jauh dari situ untuk mengambil sebilah pedang.
“Suspek yang berusia 26 tahun datang semula ke bazar tersebut lalu mencari mangsa kemudian bertindak menetak mangsa yang mengenai bahagian mukanya.
“Selepas kejadian itu suspek kemudian melarikan diri, manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan akibat kecederaan parah di muka,” katanya.
Katanya, akibat tetakan itu, mangsa turut mengalami kecederaan parah di hidung.
Abang mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Jertih pada jam 11 malam kelmarin.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, suspek berjaya ditangkap oleh sepasukan polis yang menyerbu rumahnya di Kampung Gong Dasar pada jam 2.45 pagi semalam.
“Motif awal kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati kerana berlaku masalah dalam jualan kayu yang dipotong mereka berdua sebelum itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata tajam. – Sinar Harian Online

No comments: