Monday 30 June 2014

UM TIDAK PECAT DR. REDZUAN


AIDCNews – 30/6/14 – Universiti Malaya dalam kenyataan petang tadi menafikan Professor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang tidak dilanjutkan pelantikannya sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial kerana campur tangan politik.

Malah universiti tertua itu memaklumkan Redzuan tidak dilanjutkan sebagai Dekan fakukti itu merupakan proses biasa yang pernah diamalkan sebelum ini.
“Bertentangan dengan laporan berita, keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh Redzuan itu berdasarkan proses pemilihan demokratik dan telus yang telah dijalankan selaras dengan Perlembagaan Universiti Malaya 2010.
“Perlembagaan menyatakan bahawa Naib Canselor hendaklah melantik seorang Dekan / Pengarah daripada tiga calon yang disenarai pendek yang menerima markah tertinggi.
“Pemilihan telah diadakan di antara 10 dan 12 Jun manakala proses temu bual telah diadakan terhadap tiga calon antara 17 dan 20 Jun,” kata UM dalam kenyataan itu, lapor The Malaysian Insider.
Selain Redzuan, dua lagi calon yang disenarai pendek untuk menjawat jawatan dekan fakulti itu, iaitu Profesor Dr Md Sidin Ahmad dan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.
“Selepas perbincangan yang panjang, pihak pengurusan memutuskan untuk melantik Md Sidin sebagai dekan baru untuk Fakulti Sastera dan Sains Sosial,” kata UM sambil menambah bahawa ia mengambil kira tempoh persaraan Redzuan yang dijangka tahun depan dan untuk memberi peluang kepada Md Sidin untuk membiasakan dirinya dengan peranan baharunya itu.
“UM menekankan bahawa pemilihan ini adalah satu proses biasa dalam memutuskan dekan selama tempoh yang akan datang selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 30 Jun.”
The Malaysian Insider sebelum ini membuat laporan yang agak mengelirukan apabila mencampuradukkan jawatan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) yang sebelum ini kedua-duanya disandang oleh Redzuan.
Hakikatnya, jawatan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan UMcedel adalah dua institusi yang berbeza.
Menurut sumber, jika benar Kementerian Pendidikan tidak berpuas hati dengan UMcedel yang dikatakan condong kepada pembangkang, kenapa baru sekarang kerajaan mencadangkan Redzuan meninggalkan jawatan itu.
Sumber itu memaklumkan Redzuan sengaja membangkitkan isu UMcedel untuk menutup segala kelemahannya berkaitan dengan kajian yang berat sebelah semasa Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) yang memberi gambaran seolah-olah pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada PRU itu.

2 comments:

profit said...

Biasa la tu,jawapan yang mempertahankan sistem dan kewibawaan pendokong2 sistem.Napolean is greater than France.

ayah said...

Jawatan Dekan bukanlah untuk seumur hidup atau sepanjang kerjaya seseorang akademik. Dan ia bukan menjadi hak seseorang itu menuntut supaya kedudukannya harus dikekal.

Berkaitan dengan itu, tindakan Saifuddin Abdullah adalah sesuatu yang tidak matang dan tidak berasas.

Harap jangan ada mana2 pihak salah faham dan membuat komen2 yang bodoh.