Friday 30 May 2014

DUA WANITA MANGSA CULIK SEMPORNA DIBEBASKAN

Gambar Hiasan
PETALING JAYA : 

Dua wanita yang didakwa diculik dari sebuah resort di Sabah pada April lalu telah berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa negara ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara ini melalui akaun Twitternya setelah dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jumaat.

“Saya baru sahaja diberi taklimat oleh PDRM bahawa dua wanita yang diculik di sebuah resort di Sabah pada April lalu telah diselamatkan oleh pihak berkuasa kita.

“Kita sedang mengambil langkah untuk memudahkan urusan membawa pulang warga China ke negaranya secepat mungkin,” katanya menerusi ‘Tweet’ kira-kira pukul 7.30 petang Jumaat.

Najib yang sedang mengadakan lawatan kerja ke China selama enam hari berkata mereka yang diculik dilepaskan tanpa perlu membayar wang tebusan.

“Tiada wang tebusan dibayar untuk pembebasan mereka.

“Kejayaan ini kerana kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyelesaikan kes ini.

April lalu, seorang wanita warga China yang dikenal pasti sebagai Gao Hua Yun, 29 dan pekerja resort dari Filipina, 40 telah diculik dari resort Singamata Reef, berhampiran Semporna.

Polis percaya kumpulan yang bertanggungjawab menculik dua wanita itu berpangkalan di selatan Filipina dan mahu mendapatkan wang tebusan.

Polis turut mengesyaki bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu mendapat “bantuan dalaman” untuk memasuki resort itu. Mstar

No comments: