Friday 4 April 2014

CULIK PELANCONG CHINA DI SABAH,, POLIS SYAK 'ORANG DALAM' TERLIBAT ???


KOTA KINABALU :

Seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik dari sebuah resort atas air, Singgahmata Adventures Reef and Resort, oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata, malam tadi.



Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib hari ini berkata wanita China, yang juga seorang pelajar, dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai manakala pekerja wanita Filipina berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi.

Resort 60 bilik itu, yang beroperasi selama lebih 10 tahun itu, terletak kira-kira dua batu nautika dari Pekan Semporna.

Hamza berkata ketika kejadian pukul 10.30 malam itu, terdapat 61 pelancong iaitu 59 rakyat China, seorang warga Iran dan seorang pelancong Malaysia dan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk diambil keterangan.

Katanya polis percaya penculikan dilakukan secara rambang kerana ketika kejadian, wanita China itu sedang menggunakan telefon bimbitnya di veranda biliknya, yang menjadi laluan kumpulan penculik itu ke bot mereka yang berlabuh di belakang resort berkenaan.

Penculik bersenjatakan M14
  
Beliau berkata wanita China datang ke resort berkenaan seorang diri semalam untuk mengikuti kursus selaman bagi memperoleh lesen selam skuba laut terbuka anjuran Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI).

Katanya wanita China itu sempat mengatakan "I don't want to go" (Saya tidak mahu pergi) semasa ditarik oleh kumpulan penculik itu ketika melarikan diri ke bot selepas menculik mangsa wanita Filipina terlebih dahulu.

Beliau berkata kumpulan bersenjata itu tiba di resort berkenaan dengan menaiki bot laju dan tiga daripada lelaki bersenjata dan memakai topeng naik ke atas resort itu.

"Kita telah menjalankan siasatan dan kita rasa ada petunjuk dalam kejadian ini. Tetapi tidak dapat saya terangkan lebih lanjut kerana kita tidak mahu menjejaskan siasatan.

"Kita percaya mangsa ini tidak lagi berada di Semporna atau di Sabah sebaliknya telah berada di sebelah Filipina," katanya.

Beliau berkata polis percaya insiden itu adalah atas bantuan orang dalaman berdasarkan keadaan sekeliling resort yang tidak mudah dimasuki terutama pada waktu malam kerana ia dipasang dengan rintangan seperti rentangan tali.

"Resort ini di atas air, macam resort di Kapalai. Ia dikelilingi sistem halangan seperti rentangan-rentangan tali supaya bot-bot tidak mudah masuk.

"Hanya orang yang betul-betul mahir (dengan resort itu) sahaja yang tahu dan masuk dengan melalui alur-alur di situ untuk elak enjin bot tersangkut," katanya.

Hamza berkata kejadian itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang menjadi penculikan sebagai kerjaya untuk mendapatkan wang tebusan, sama seperti insiden pembunuhan dan penculikan sepasang pelancong suami isteri warga Taiwan di Pulau Pom-Pom, Semporna, tahun lepas.

"Cuma kali ini dia tidak menembak mangsa. Setakat ini belum ada sebarang tuntutan wang tebusan," katanya.

Katanya polis tiba di resort berkenaan kira-kira jam 11 malam selepas kejadian itu.

Hamza juga menjelaskan bahawa anggota polis menjalankan rondaan di resort berkenaan empat hingga lima kali seminggu dan sekiranya tidak ke sana biasanya pihak resort akan menghubungi anggotanya sekiranya mendapati ada perkara-perkara mencurigakan.

Mengenai lawatannya ke lokasi kejadian, Hamza berkata pelancong masih berada di resort itu dan operasi resort berjalan seperti biasa

No comments: