Friday 28 February 2014

TAN SRI DATUK AMAR ADENAN SATEM ANGKAT SUMPAH KETUA MENTERI SARAWAK KE-5


KUCHING : Sarawak mencatat sejarah hari ini apabila Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri kelima menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Adenan, 70, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada jam 9.30 pagi ini di Astana, Petra Jaya.
Semalam, Taib meninggalkan pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini pada jam 2.15 petang dalam suasana pilu.
Selain Adenan, mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Jemut Masing dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang dan Datu Misnu Taha, Setiausaha Persekutuan Datuk Md Yahaya Basimin serta ketua-ketua jabatan di Jabatan Ketua Menteri.
Taib ditemani isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib juga sempat bersalaman dengan kakitangan di Jabatan Ketua Menteri yang turut mengiringinya sambil membawa kain rentang yang bertulis ‘I Love Pehin Sri’ dan ‘TQ Pehin Sri.’
Morshidi yang berkhidmat di bawah Taib sejak tahun 2009 menyifatkan bekerja dengan Taib sebagai amat memuaskan kerana beliau adalah seorang yang berpandangan luas, berpengetahuan serta fokus pada kerja.
“Saya berasa amat bertuah kerana beliau telah memberikan kami banyak didikan dan haluan untuk membangunkan negeri ini.
“Kini, saya akan bekerja di bawah seorang lagi Ketua Menteri yang berpengetahuan serta berpengalaman dan saya yakin beliau akan dapat melakukan apa yang telah Pehin Sri lakukan untuk Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita.
Morshidi turut mendoakan yang terbaik untuk pelantikan baharu Taib sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Terdahulu, Taib telah menyempurnakan perasmian Sudut Rekreasi Wisma Bapa Malaysia.
Antara kemudahan yang terdapat di situ ialah pejabat pos, kedai koperasi, mesin ATM, gimnasium, bilik bersalin untuk lelaki dan wanita, lokar, bilik mandi dan tandas serta ruang tempat rehat dan menunggu.
Taib mengumumkan persaraannya selepas 33 tahun menjadi Ketua Menteri menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub mulai 26 Mac 1981.
Ketua Menteri Sarawak yang pertama ialah Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan berkuat kuasa 22 Julai 1963 hingga 16 Jun 1966 (pertama), beliau kemudian menjawat semula jawatan itu bagi kedua kalinya mulai 7 September 1966 hingga 23 September 1966.
Mendiang Ningkan digantikan Datuk Tawi Sli berkuat kuasa 16 Jun 1966 hingga 7 September 1966. Kemudian Tawi memegang jawatan itu semula mulai 23 September 1966 hingga diambil alih oleh Abdul Rahman pada 7 Julai 1970.
Adenan diuar-uarkan dilantik ke jawatan itu selepas Taib mengumumkan peletakan jawatannya pada 8 Februari yang lalu.
Taib menamatkan teka-teki mengenai penggantinya apabila mengadakan sidang media bagi menamakan Adenan sebagai Ketua Menteri Baharu.
Adenan dikatakan calon paling sesuai berdasarkan kebijaksanaan dan pengalaman luas dalam politik terutama Sarawak.
Dalam pada itu, Taib akan menerima watikah lantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri pada hari ini juga menjadikannya orang ketujuh menduduki kerusi Astana peninggalan pemerintahan Rajah Brooke itu.
Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar semalam berkata, Taib akan mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada Sabtu di Kuching.
Susulan pelantikan itu, Taib akan disambut dalam satu majlis sempena ketibaannya pada jam 8 malam ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekembalinya beliau dari ibu negara.
Tun Salahuddin tamat tempoh lantikannya pada hari ini. Beliau menjawat jawatan itu dua kali. Kali pertama mulai 2 April 1977 hingga 1 April 1981, dan kemudian dilantik semula pada 6 Disember 2000 hingga sekarang.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak pertama ialah Tun Datuk Patinggi Abang Openg Sapiee yang memegang tugas dari 16 September 1963 hingga 28 Mac 1969.
Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman pula dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 2 April 1969 hingga 1 April 1977.
Selepas lantikan pertama Tun Salahuddin, jawatan itu dipertanggungjawabkan kepada Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub mulai 2 April 1981 hingga 1 April 1985.
Tun Rahman digantikan Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce Mohd Nor mulai 2 April 1985 hingga 5 Disember 2000.
Jabatan Penerangan Sarawak semalam memberitahu satu majlis perpisahan akan diadakan di Astana sejurus selesai majlis angkat sumpah Ketua Menteri baharu.

No comments: