Thursday 19 December 2013

JANGAN TERLALU MUDAH SEBAR GAMBAR MANGSA JENAYAH DI INTERNET

jenayah5

Kerajaan tidak bercadang mewujudkan akta baharu bagi menghukum orang awam yang menyebarkan gambar mangsa jenayah di Internet, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ketika ini hukuman dikenakan berasaskan Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan ia dilihat cukup untuk mendidik masyarakat.
“Masyarakat perlu tahu batasan tertentu dan menggunakan kebebasan yang diberi sebaik-baiknya dan oleh itu akta tersebut disifatkan cukup untuk mengajar masyarakat supaya tidak mudah menyebarkan sebarang gambar mangsa jenayah di Internet,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Johari Mat.
Johari ingin tahu tindakan yang boleh diambil PDRM terhadap orang awam yang menyebarkan gambar-gambar mangsa di tempat kejadian jenayah dalam Internet.
Dr Wan Junaidi berkata antara peruntukan di bawah Akta berkenaan yang boleh digunakan bagi kesalahan itu ialah Seksyen 211 Larangan Terhadap Pemberian Kandungan Jelik dan Seksyen 233 Penggunaan Tidak Wajar Kemudahan Rangkaian atau Perkhidmatan Rangkaian.
Katanya mana-mana individu yang disabit kesalahan di bawah kedua-dua seksyen berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
Pesalah yang didapati masih melakukan kesalahan sama selepas pensabitan, boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari, kata timbalan menteri itu.
Wan Junaidi berkata tindakan penguatkuasaan dan hukuman hanya boleh diambil di bawah Akta berkenaan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan diguna pakai pihak berkuasa lain termasuk PDRM.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata sejak 2010, hanya dua orang, iaitu anggota polis yang telah dikenakan tindakan tatatertib, kerana menyebarkan gambar mangsa jenayah dengan memuat naik ke Internet.
“PDRM memandang serius kes sebaran gambar ini ke media jalur lebar, whatsapp dan lain-lain lagi kerana ini boleh menjatuhkan imej dan sikap profesional,” katanya.
Beliau berkata selain pendakwaan di mahkamah, mana-mana anggota dan pegawai yang didapati bersalah turut dirujuk ke Suruhanjaya Polis untuk hukuman di peringkat dalaman seperti potong gaji, gantung atau buang kerja.

No comments: